SUKAN

Emas Eain Yow Ceriakan Kontinjen Negara

05/10/2023 09:03 PM

HANGZHOU, 5 Okt (Bernama) -- Perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow menoktahkan cabaran acara skuasy pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 dengan kilauan emas di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, di sini, hari ini.

Pemain pilihan utama itu menepati jangkaan dengan bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum mengatasi Saurav Ghosal dari India 9-11, 11-9, 11-5, 11-7 dalam pertarungan selama 72 minit bagi menyumbang pingat ke-28 negara pada temasya sukan itu.

Kejayaan tersebut bukan sahaja membolehkan Eain Yow membalas dendam ke atas Saurav yang sebelum in menewaskannya 8-11, 6-11, 12-10, 13-11`pada separuh akhir acara berpasukan lelaki tetapi juga membantu kontinjen Malaysia melepasi sasaran 27 pingat.

Kemenangan tersebut juga menamatkan kemarau 13 tahun untuk merangkul gelaran juara perseorangan lelaki selepas Ong Beng Hee pada 2002 dan 2006 serta Mohd Azlan Iskandar pada edisi 2010.

"Saya hanya lebih mantap berbanding minggu lepas dan membuatkan lawan cepat letih untuk mencipta kemenangan ini. Saya amat bangga untuk menhadiahkan pingat ini kepada negara tercinta. Di Jakarta, saya menytumbang mata kemenangan dalam acara berpasukan dan kini membantu negara melepasi sasaran pingat.

“Skuasy telah mencapai sasaran di sini dan mengucapkan terima kasih atas semua sokongan. Mungkin sebelum ini ada pihak anggap skuasy akan kemarau pingat selepas Datuk Nicol David, Beng Hee, Mohd Azlan bersara...tetapi mereka yang mengikuti tahu perkembangan kami dengan saya dan Sivasangari banyak sumbang pingat untuk negara," katanya.

Malaysia muncul negara terbaik dalam acara skuasy di Sukan Asia di sini dengan merangkul tiga emas, satu perak dan satu gangsa  (3-1-1) sekali gus mengatasi pencapaian 2-2-1 pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

Terdahulu, S. Sivasangari merangkul emas acara perseorangan wanita manakala gandingan Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman menyumbang pingat perak dalam acara beregu campuran yang diperkenalkan pada edisi kali ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan