KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Westports Malaysia Sdn Bhd (Westports) dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) hari ini menganjurkan Program Gotong-Royong Basmi Denggi di sekitar kawasan Indah Point, Pulau Indah, Selangor bagi menangani peningkatan kes denggi di kawasan berpenduduk padat dan berisiko tinggi.
CSSB dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu diadakan sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya penjagaan kebersihan persekitaran sebagai langkah pencegahan pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca utama penularan wabak denggi.
Program yang bermula 8 pagi dan dirasmikan Ketua Kewangan dan Pelaburan CSSB Amran Abdul Wahab serta dihadiri Pengurus Jabatan Keselamatan Westports Rosman Mohd Yunus turut melibatkan kawasan sekitar Jalan Perigi Nenas 8/4, 8/5 dan 8/6, berdekatan kawasan industri dan asrama pekerja asing.
Amran dalam ucapannya berkata masalah denggi bukan sahaja melibatkan isu kesihatan tetapi juga cabaran sosial yang memerlukan tindakan kolektif.
“Kehadiran komuniti dan pelbagai agensi pada hari ini membuktikan keprihatinan dan kesungguhan kita dalam memastikan kesejahteraan Pulau Indah terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut CCSB, inisiatif gotong-royong program itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan memberi impak positif kepada komuniti di Pulau Indah.
“CSSB komited untuk terus menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam menerajui pembangunan komuniti yang sihat dan selamat. Selain daripada program gotong-royong, aktiviti lain seperti sukaneka juga diadakan bagi memeriahkan lagi program berkenaan,” menurut kenyataan.
Program yang disertai kakitangan kumpulan CSSB, Westports, agensi kerajaan, rakan kolaborasi serta penduduk setempat itu turut dihadiri Ahli Majlis N46C Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Mohd Fauzi Othman, Pengarah Kesihatan MBDK Azmi Muji dan Ketua Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Klang Dr P. Ravinikant.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial