AM

145 USAHAWAN BERKAMPUNG DI MELAKA SEMPENA SDSI BERMULA 6 OKT INI

04/10/2023 04:37 PM

MELAKA, 4 Okt (Bernama) -- Sebanyak 145 usahawan dari 14 negeri bakal memeriahkan Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) MADANI Peringkat Kebangsaan yang  berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata pameran yang menjadi platform usahawan mempromosikan produk masing-masing itu dijangka dikunjungi lebih 40,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

"Setiap negeri dijangka membawa 10 hingga 15 produk meliputi kluster makanan dan minuman (F&B), produk atau perkhidmatan kesihatan, produk kraf dan inap desa.

“Justeru SDSI merupakan platform terbaik membantu usahawan tempatan khususnya usahsawan kecil dan sederhana untuk mempromosi produk keluaran mereka," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, Jualan Anekarasa MADANI turut diadakan dengan setiap negeri  membawa tiga menu makanan istimewa yang melambangkan negeri berkenaan dan popular dalam kalangan rakyat mereka.

Sebagai contoh katanya usahawan makanan dari Johor akan menjual mee bandung, dari Sarawak mi kolok manakala laksa nyonya serta asam pedas dari usahawan Melaka.

Allex Seah berkata program padanan perniagaan, seminar keusahawanan dan akses peluang pembiayaan turut disediakan untuk usahawan sepanjang tiga hari Pameran SDSI berkenaan berlangsung.

"Program menarik lain turut diadakan iaitu Jualan MADANI Koperasi, Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI yang menawarkan pelbagai barang keperluan harian dan dapur pada harga lebih murah bagi meringankan beban rakyat.

"Program 'Malam Cinta Rasul”, Malam 'Gema Irama MADANI' dan cabutan bertuah juga turut diadakan bagi menarik kedatangan pengunjung ke pameran tersebut," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan