AM

KUSKOP JANGKA JANA RM10 JUTA MENERUSI PAMERAN PERDAGANGAN FOODSERVICE AUSTRALIA 2024

20/05/2024 06:04 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjangkakan dapat menjana RM10 juta menerusi penyertaan usahawan bimbingannya di Pameran Perdagangan Foodservice Australia 2024.

Berlangsung di International Convention Centre (ICC) Darling Harbour, Sydney dari 19 hingga 22 Mei 2024, pameran perdagangan itu diketuai oleh Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad dan 14 usahawan produk halal.

Suriani dalam kenyataan memaklumkan penyertaan kali pertama di Foodservice Australia itu akan membuka peluang perniagaan yang lebih luas bagi usahawan tempatan terutamanya dalam sektor halal di pasaran global.

“Ini juga selari dengan inisiatif memperkenalkan dan memperkukuhkan jenama halal Malaysia serta memudahkan akses produk ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Bersempena dengan pameran itu juga, Suriani menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman antara syarikat G & H Cake House Sdn Bhd dengan Kirpa Traders Pty Ltd (Subsidiary Of Agro 19 Berhad) bagi membekalkan produk ‘Almond Oatmeal Cookies’, ‘Fruity Oatmeal Cookies’ dan ‘Chocolate Oatmeal Cookies’ di Sydney.

Turut dilancarkan tiga produk terbaru untuk syarikat Roseputih Sdn Bhd (The Original 5 Paste In 1, Nasi Ayam + Kam Heong +Sambaloca + Sambal Tumis + Sotomix) dan Syarikat Palm Fiber Sdn Bhd (Fiber drink In Filter Cup) dan Syarikat Samz Holding Sdn Bhd (sos berperisa rendang).

Penyertaan di Foodservice Australia 2024 merupakan hasil kerjasama antara KUSKOP, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), SME Bank dan UDA Holdings Berhad.

Menurut Suriani lagi Pavilion KUSKOP memperkenalkan pelbagai produk halal berinovasi seperti ‘Fiber Drink in Filter Cup’, sos berperisa rendang dan antara yang menjadi perhatian adalah ‘dark chocolate’ keluaran tempatan, produk sedia untuk dimakan seperti bubur cendawan, ‘patty burger’ 100 peratus berasaskan buah nangka dan cendawan serta produk pes segera.

“KUSKOP berharap penyertaan ini akan meningkatkan eksport produk halal negara serta memperkukuh hubungan perdagangan dua hala Malaysia dengan Australia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan