Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
HANGZHOU, 1 Okt (Bernama) -- Rentak positif kem memanah negara di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 diteruskan dalam acara compound individu lelaki dan recurve individu wanita di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, di sini, hari ini.
Dalam pusingan kelayakan compound individu lelaki, Mohd Juwaidi Mazuki cemerlang menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 64 pemanah apabila mengumpul keseluruhan 702 mata selepas 72 panahan sekali gus layak ke pusingan penyingkiran 1/32, esok.
Turut layak adalah Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz yang mengumpul keseluruhan 699 mata untuk mengakhiri saingan di tempat ke-12.
Mohd Juwaidi dan Alang Ariff, yang memenangi gangsa compound berpasukan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, masing-masing akan berdepan Woon Teng Ng dari Singapura dan pemanah Bhutan, Khendrup di pusingan penyingkiran.
Pada masa sama, pemanah muda negara, Syaqiera Mashayikh dan Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini masing-masing menempah tempat di pusingan penyingkiran 1/32 recurve individu wanita selepas berjaya mengharungi cabaran di pusingan kelayakan.
Syaqiera, yang beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, menamatkan saingan di tempat ke-15 daripada 64 peserta selepas mengumpul 639 mata dan akan membuat perhitungan berdepan wakil Yaman, Hamoud Hend Abdullah Ahmed di pusingan penyingkiran 1/32, esok.
Sementara Ku Nurin yang mengumpul 626 mata di tempat ke-21 akan menentang Shaden Abdullah Almarshud dari Arab Saudi.
Terdahulu, pemanah berpengalaman negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, mengesahkan kemaraan ke pusingan penyingkiran dalam compound individu wanita sementara Khairul Anuar Mohamad dan Muhamad Zarif Syahir Zolkepeli masing-masing turut layak ke pusingan seterusnya dalam recurve individu lelaki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial