PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan mengibarkan bendera kejohanan Hari Potensi KEMAS di puncak Gunung Kinabalu pada 1 Okt ini sebagai tujuan promosi dan publisiti.
KEMAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ekspedisi yang diketuai Pengarah KEMAS Selangor Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan bersama 10 kakitangan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Jumaat ini, sebelum memulakan pendakian keesokan harinya dan dijangka tiba di puncak Gunung Kinabalu pada Ahad ini.
“Selain menjalankan aktiviti rekreasi yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, ekspedisi ini juga membawa misi KEMAS Selangor untuk mencapai kejayaan di mata dunia dengan simbolik mengibarkan bendera KEMAS di puncak Gunung Kinabalu,” menurut kenyataan itu.
Simbolik penyerahan bendera Hari Potensi KEMAS disempurnakan oleh Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi di sini hari ini sebagai tanda membawa semangat dan cita-cita seluruh warga jabatan itu untuk berusaha mencapai kejayaan dan keunggulan dalam kerjaya.
KEMAS akan menganjurkan Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan pada 3 hingga 5 Nov ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor.
Menurut KEMAS, program itu bakal menghimpunkan hampir 800 orang kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS dari seluruh negara yang bertanding dalam acara bakat seperti pertandingan Bilal Cilik, Ustazah Junior, pidato, bercerita, tarian dan Digital Hero.
“Setelah hampir 30 tahun pelaksanaan program Potensi KEMAS dengan pelbagai penambahbaikan yang telah dibuat bagi memastikan Hari Potensi KEMAS ini mencapai suatu prestij yang tersendiri serta melahirkan kanak-kanak yang cemerlang dari sudut akademik, sukan dan bakat,” menurut kenyataan itu.
Hari Potensi Tabika KEMAS mula dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) bermula 1991 diikuti 1997, 2002 dan 2004.
Acara itu dijadikan aktiviti kokurikulum Tabika yang dilaksanakan secara tahunan, melibatkan tiga peringkat iaitu daerah/Parlimen, negeri dan kebangsaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial