SUKAN

Sukan Asia: Malaysia Raih Emas Pertama Menerusi Nur Shazrin

27/09/2023 02:19 PM

Daripada R. Vikneswaran

HANGZHOU, 27 Sept (Bernama) -- Malaysia berjaya merangkul pingat emas pertama pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi pelayar, Nur Shazrin Mohamad Latif dalam acara ILCA 6 wanita pada hari keempat acara berpingat dipertandingkan di sini.

Selepas penantian yang penuh debaran, atlet berusia 25 tahun dari Pasir Gudang, Johor itu berjaya mengekalkan kedudukan pertama selepas berjuang dengan keadaan ombak sukar di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, lebih 170 km dari sini.

Nur Shazrin, yang berada di kedudukan teratas dengan 25 mata penalti selepas 11 perlumbaan hingga lima hari pertandingan setakat semalam, dinobatkan sebagai pemenang selepas perlumbaan terakhir hari ini dibatalkan kerana kekurangan angin untuk menjalankan pertandingan itu di Tasik Dongqian.

Keadaan itu sekali gus, membantu pemenang pingat gangsa pada temasya Jakarta-Palembang 2018, menukar warna pingatnya ke emas, serta melayakkan Nur Shazrin untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelayar Hong Kong Stephanie Norton (37 mata) meraih perak, manakala gangsa menjadi milik Victoria Jing Hua Chan (38 mata) dari Singapura.

Semalam, Asnawi Iqbal Adam turut mengesahkan pingat pertama bagi Malaysia selepas meraih gangsa acara ILCA 4 lelaki, manakala Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen turut menyumbang gangsa menerusi Windsurfing RSX Wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan