KUALA PILAH, 13 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bergantung pada kelemahan pihak lawan sebaliknya fokus kepada kekuatan sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata arahan pimpinan jelas bahawa jentera parti perlu diperkukuh atas keupayaan sendiri tanpa bergantung kepada faktor luaran.
"Lemahnya musuh tak bererti kuatnya kita. Jadi arahan daripada pimpinan adalah jentera dan pasukan dalam kalangan Pakatan Harapan mesti kuat sendiri.
"Itu falsafah yang kita pegang dan semestinya kita akan menilai dinamika politik dari semasa ke semasa. Tapi asasnya masih Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program AI@NADI di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti, Balai Raya Kampung Terachi, Tanjung Ipoh di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keyakinan PH menghadapi PRN kali ini terutamanya di Negeri Sembilan selepas mengambil kira isu terputusnya hubungan politik antara Bersatu dan PAS.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata pasukan penerangan perlu bergerak pantas bagi memastikan mesej gabungan itu dapat disampaikan dengan berkesan kepada pengundi.
Beliau berkata jentera parti perlu berkempen dengan baik, secara sihat dan berlandaskan fakta, selain memahami bahawa pengundi pada hari ini memperoleh maklumat melalui pelbagai saluran.
"Bukan hanya melalui media massa tapi media sosial. Jadi mereka perlu mempunyai keupayaan mendampingi para pengundi yang mendapat maklumat bukan hanya bersemuka tapi dalam platform-platform yang baharu," katanya.
Menteri Komunikasi itu berkata rundingan pengagihan kerusi PH bagi PRN di Johor dan Negeri Sembilan telah dimuktamadkan, manakala kini adalah proses tapisan calon.
Beliau menjangkakan pengumuman calon PH dibuat dalam tempoh tidak terlalu lama, iaitu sekitar seminggu sebelum hari penamaan calon.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 5 Jun setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, tarikh penamaan calon pada 18 Julai, manakala pengundian awal pada 28 Julai.
PRN Negeri Sembilan 2023 menyaksikan PH dan BN membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN.
PH memenangi 17 kerusi dan BN memperoleh 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN selepas Johor berbuat demikian pada 1 Jun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial