JENAYAH & MAHKAMAH

Penutupan Jalan, Lencongan Sekitar Perak Mulai 25 Sept Sempena Ltdl 2023

22/09/2023 01:44 PM

IPOH, 22 Sept (Bernama) -- Beberapa penutupan jalan serta lencongan akan dilaksanakan di sekitar Perak bagi memberi laluan kepada perlumbaan berbasikal Le Tour De Langkawi (LTdL) edisi ke-27 bermula 25 sehingga 27 Sept ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara jalan yang akan dilencongkan dan ditutup bagi peringkat ketiga hingga kelima LTdL ialah Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli dan JRTB Gerik - Kupang yang akan ditutup pada Isnin ini.

“Sementara itu, Jalan Dewan, Jalan Taiping, Jalan Ipoh-Butterworth, Jalan Chemor - Jelapang juga akan ditutup pada 26 Sept manakala Jalan Stesen, Slim River serta Jalan Ipoh-Kuala Lumpur ditutup pada 27 Sept depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata jalan di sekitar Pekan Parit Buntar, Pekan Bagan Serai, Pekan Simpang, Taiping, Pekan Kuala Kangsar, Pekan Sg Siput,  Pekan Chemor dan Bandar Meru Raya akan dilencongkan dan ditutup pada 26 Sept, manakala di sekitar Pekan Slim River dan Pekan Tanjung Malim pada 27 Sept.

Sementara itu, beliau berkata pergerakan kenderaan berat tidak dibenarkan sepanjang laluan LTdL dan lencongan akan dibuat oleh pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pengguna jalan raya dilarang sama sekali meletakkan kenderaan di kiri dan kanan bahu jalan sepanjang laluan LTdL bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini serta tidak dibenarkan melalui semua lorong atau jalan keluar dan masuk ke laluan utama.

“Laluan LTdL akan dibuka dan lencongan akan dibuat oleh petugas trafik sehingga peserta LTdL selesai melalui laluan tersebut dengan jalan akan dibuka semula kepada semua lalu lintas selepas semua acara perlumbaan itu selesai sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan yang mungkin berlaku akibat daripada penutupan jalan tersebut.

Orang awam dan penonton yang mahu menyaksikan perlumbaan LTdL perlu mematuhi arahan pihak polis bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penonton, pelumba, kumpulan sokongan dan semua petugas LTdL terjamin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan