POLITIK

Pengerusi PN Perak Dan Negeri Sembilan Letak Jawatan

30/12/2025 03:58 PM

IPOH, 30 Dis (Bernama) -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi PN Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker, masing-masing mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Jan 2026.

Ahmad Faizal yang juga Naib Presiden Bersatu itu berkata beliau mengambil maklum keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan menghormati bahawa pelantikan beliau ke jawatan itu, adalah atas bidang kuasa pengerusi.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli-ahli parti komponen PN Perak atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan sepanjang saya menggalas amanah ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu Mohamad Hanifah Abu yang juga Ahli Dewan Undangan negeri Labu berkata keputusan meletakkan jawatan itu, dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab serta selaras dengan prinsip menghormati struktur, hierarki dan tatakelola organisasi PN.

“Saya mengambil maklum bahawa pelantikan saya sebagal PN Negeri Sembilan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Pengerusi PN Malaysia.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pimpinan, rakan-rakan parti, jentera serta penyokong PN Negeri Sembilan atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan sepanjang saya memegang amanah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Pusat berkuat kuasa 1 Jan 2026.

Ia disusuli peletakan jawatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Selangor, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan