AM

PENGANJURAN BANK ISLAM MEDIA COMMUNITY DRIVE DITERUSKAN TAHUN DEPAN

17/09/2023 05:29 PM

KEPALA BATAS, 17 Sept (Bernama) -- Pertandingan mencari harta karun ‘Bank Islam Media Community Drive 2023’ dirancang diteruskan tahun hadapan kerana ia bukan sekadar memanfaatkan golongan pengamal media malah masyarakat setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed berkata hal ini kerana sepanjang melaksanakan aktiviti menerusi pertandingan itu, peserta secara tidak langsung menyantuni golongan memerlukan.

"Bank Islam telah berjaya menganjurkan pertandingan ini bersempena penubuhan 40 tahun Bank Islam dan kali ini pertandingan disertai hampir 160 orang wakil media daripada 22 agensi dan pelbagai aktiviti sepanjang pertandingan termasuk menjurus kepada khidmat masyarakat.

"Pada pertandingan ini juga, Bank Islam memberi sumbangan sebanyak RM30,000 menerusi program tanggungjawab sosial korporat kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Dahikmah, Gopeng, Perak," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan, yang dianjurkan bersama rakan strategik Kelab Kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Bertam Resort and Water Park di sini hari ini.

Program dua hari itu bermula dari Kuala Lumpur semalam dan berakhir di Pulau Pinang dengan antara aktiviti menarik ialah menanam sayur menggunakan kaedah hidroponik di My Gopeng HyGrowFarmVille (Joejalil Galeria) di RTC Gopeng, Perak, selain mencari petunjuk di sepanjang perjalanan dan aktiviti di Kampung Agong, Penaga dekat sini.

Mohd Muazzam berkata pertandingan itu juga bertujuan merapatkan silaturahim dan menghargai sokongan daripada pihak media.

"Berdasarkan sambutan memberangsangkan daripada pihak media, kami (Bank Islam) akan teruskan lagi program ini kerana ia bermanfaat dan kami harap dapat anjurkan pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali yang turut menyertai pertandingan itu berkata program tersebut memberikan pengalaman berbeza berbanding pertandingan mencari harta karun lain kerana turut mengetengahkan permainan tradisional seperti konda kondi.

"Terima kasih kepada Bank Islam dan Kelab Kakitangan Bernama atas usaha menganjurkan pertandingan ini, paling menarik ketika di Kampung Agong kerana kawasan itu sangat cantik malah kami juga diminta berpakaian era 40-an sempena ulang tahun Bank Islam ke-40 tahun,” katanya.

Pertandingan itu menawarkan hadiah hingga tempat ke-10, dengan tempat pertama membawa pulang wang tunai RM5,000 yang dimenangi kumpulan Kamikaze daripada Utusan.

Tempat kedua dimenangi kumpulan Kereta Burok diwakili pengamal media daripada Utusan TV, Warta Rakyat dan Satu Berita My dengan menerima wang tunai RM4,000 manakala tempat ketiga kumpulan Kingsman daripada Bernama menerima wang tunai RM3,000.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan