AM

Kdn Teliti Cadangan Buka Semula Jalan Pintas Pejalan Kaki Di Ciq Bsi

06/09/2023 11:06 AM

JOHOR BAHRU, 6 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan membuka semula ‘jalan pintas’ di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jawatankuasa bersama yang dipengerusikan beliau dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah dibentuk untuk meneliti perkara berkaitan mengatasi kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

"Perkara itu memang dalam perhatian KDN dan perbincangan di peringkat jawatankuasa ini sentiasa diberi perhatian termasuk inisiatif untuk memulihkan atau meredakan isu berkenaan.

"Aspek yang disebut tadi merupakan satu daripada perkara yang sedang dalam perhatian.  Laluan lori, bas pekerja, kenderaan biasa termasuk motosikal dan pejalan kaki itu semua komponen yang menjadi perhatian kami dalam jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Taman Dahlia, malam tadi.

Beliau menambah isu pejalan kaki termasuk jalan pintas antara perkara yang diberi perhatian serius oleh jawatankuasa itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang dipetik sebagai berkata ratusan pejalan kaki termasuk wanita hamil dan warga emas, meminta jalan pintas itu dibuka semula.

Tambah mereka, laluan yang lebih pendek berhampiran Hotel Lion lama (kini dikenali sebagai Hotel Hako) di sepanjang Jalan Lingkaran Dalam, akan menjimatkan masa kerana mereka kini terpaksa berjalan sejauh 1.5 kilometer mengelilingi CIQ BSI.

Menurut laporan berita itu, ramai merasakan bahawa pembukaan semula jalan pintas itu juga akan menyuraikan lalu lintas dari pusat bandar, yang kini sesak terutamanya pada waktu puncak dan hujung minggu disebabkan kerja-kerja pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) yang sedang dijalankan.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan