GEORGE TOWN, 8 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang harus proaktif dalam memantapkan keupayaan dalaman dan daya tahannya dengan memberi penekanan kepada kecekapan penggunaan tenaga dan memperkukuh sekuriti makanan dalam mendepani konflik Asia Barat.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib berkata kerajaan negeri juga tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya memastikan pengurusan fiskal berdisiplin dan berwawasan bagi mengharungi ketegangan yang mencetuskan kesan rantaian terhadap kestabilan pasaran global, khususnya dalam sektor tenaga serta rantaian bekalan itu.
Justeru, beliau menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang agar berpegang kepada penyampaian maklumat sahih, berhemah dan sentiasa memberi cadangan membina.
“Dalam suasana penuh ketidaktentuan ini, sebarang kenyataan tidak berasaskan fakta atau bersifat spekulatif hanya akan menimbulkan kegusaran yang tidak perlu dalam kalangan rakyat.
“Kita harus mengingatkan diri kita bahawa tutur kata tidak wajar yang kita zahirkan boleh membawa kesan negatif,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini hari ini.
Tun Ramli berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada menerima tempias perkembangan tersebut.
Beliau berkata kebergantungan negara terhadap rantau berkenaan adalah signifikan, merangkumi kira-kira 61 peratus import minyak, 30 peratus import gas asli cecair (LNG) serta hampir 40 peratus aliran minyak mentah yang melalui Selat Hormuz, selain turut melibatkan keperluan terhadap bahan kritikal seperti baja, helium dan sulfur.
“Namun di sebalik cabaran tersebut, asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan hasil daripada tindakan dan langkah-langkah positif dan tegas yang diambil oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.
Tun Ramli berkata berdasarkan data rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 dianggarkan antara 4.0 hingga 5.0 peratus manakala kadar inflasi dijangka kekal sederhana dan terus berada jauh di bawah purata jangka panjangnya iaitu sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus.
Sehubungan itu, beliau yakin Kerajaan Persekutuan akan terus memantau perkembangan tersebut dengan penuh kebijakan sewajarnya serta menyusul dengan langkah sesuai bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara, bekalan asas terjamin dan pertumbuhan ekonomi negara terus dikekalkan.
Terdahulu, Tun Ramli memeriksa barisan kawalan kehormatan utama Pasukan Simpanan Persekutuan Negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat diketuai DSP Herman Sharif.
Turut hadir, isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial