JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Bakar Rumah

24/08/2023 08:34 PM

KEPALA BATAS, 24 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang penagih dadah selepas lelaki itu bertindak membakar rumah pusaka dua tingkat yang didiami keluarganya di Pokok Sena di sini, semalam kerana berang adiknya enggan memberikan rokok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie berkata suspek berusia 47 tahun itu, dipercayai bertindak membakar rumah itu kira-kira 9 malam tadi, ketika adik lelakinya sedang membuat laporan polis berhubung ketika dia mengamuk.

“Adiknya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mereka, selepas suspek mengamuk di rumah mereka ekoran berang tidak diberikan rokok, lelaki itu kemudiannya menerima panggilan telefon yang memaklumkan rumahnya terbakar.

“Jiran yang tinggal berdekatan memberitahu suspek telah membakar rumah itu dan mereka berjaya menangkapnya sebelum menyerahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Asri berkata kebakaran itu, telah menyebabkan rumah dua tingkat dengan bahagian atas diperbuat dari papan manakala bahagian bawah batu, musnah terbakar dan empat motosikal lama yang sudah tidak digunakan turut hangus.

Beliau berkata kebakaran itu, turut menyebabkan rumah jiran mereka yang terletak bersebelahan turut terbakar di bahagian dapur.

“Hasil soal siasat awal lelaki yang tidak bekerja itu mengaku membakar langsir menggunakan pemetik api di bilik tidurnya, sebelum api marak ke seluruh rumah.

“Rumah itu didiami lelaki itu, ibu dan adiknya, namun ketika kejadian ibu suspek tiada di rumah kerana melawat anak perempuannya di Balik Pulau,” katanya.

Mohd Asri berkata ujian air kencing mendapati, lelaki itu positif dadah dan mempunyai 14 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut di siasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan