AM

KERANGKA MALAYSIA MADANI TARIK PERHATIAN GLOBAL

23/08/2023 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kerangka Malaysia MADANI, sebuah visi baru buat negara, yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Januari lalu,telah menarik perhatian antarabangsa.

Ini diperakui Dr Nor Aini Abdul Rahman, perunding kanan di Haffin Media & Consultancy dan Prof  Madya Ts Dr Samsul Ariffin Abdul Karim, seorang profesor bersekutu dengan Program Kejuruteraan Perisian dan timbalan dekan, Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) , dalam artikel mengenai kerangka tersebut.

Konsep dasar dan slogan kerajaan diperkenalkan oleh Anwar pada 19 Jan lalu, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.

Malaysia MADANI mewakili enam rukun iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAT), N (keyakiNan) dan I (Ihsan) yang menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia ke arah sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Artikel yang dimuatkan dalam ruangan THOUGHTS dalam portal Bernama.com, menunjukkan bahawa kerangka MADANI itu diterima baik oleh Korea Selatan dan negara-negara di Timur Tengah serta cendekiawan Islam di seluruh dunia.

Ia menghuraikan bahawa kerangka MADANI adalah selaras dengan Inisiatif Solidariti Korea-ASEAN (KASI) yang dilancarkan oleh Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, yang bertujuan untuk memupuk perkongsian menyeluruh antara negara anggota ASEAN dan Korea Selatan.

Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin menyatakan bahawa inisiatif (KASI) yang dilancarkan pada akhir tahun lalu di bawah bidang kuasa Strategi Indo-Pasifik Korea, boleh mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia ketika kedua-dua pihak memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP)  tahun ini.

“Menteri Luar seterusnya menyatakan bahawa apa yang Korea Selatan cuba capai melalui KASI sepadan dengan nilai teras Malaysia MADANI,” menurut artikel bertajuk ‘The Malaysia MADANI Framework: How Other Countries View the Framework’.

Ia menyebut kedua-dua kerangka itu adalah berdasarkan sikap saling menjaga, belas kasihan, saling menghormati dan kepercayaan serta kedua-dua negara akan mengejar masa depan yang mampan dan makmur dengan menangani cabaran bersama melalui inovasi.

Artikel itu juga mengatakan bahawa negara-negara di Timur Tengah juga telah menunjukkan sokongan terhadap rangka kerja MADANI dengan menyertai forum Islam yang menyaksikan penyertaan ulama Islam terkemuka.

Antara ulama ini ialah bekas Mufti Besar Mesir, Dr Ali Gomaa; pengasas dan dekan seminari Dar al-Mustafa di Tarim, Yaman, Habib Umar Hafiz dan Imam Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, Dr Ekrima Sabri.

Artikel itu juga mengatakan bahawa ulama Islam terbilang dari negara-negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Gambia, Nigeria, Zimbabwe, Australia dan Indonesia juga telah menunjukkan sokongan mereka terhadap kerangka MADANI.

“Jika PM Anwar terus menjemput cendekiawan Islam ke negara ini, Malaysia boleh dilihat sebagai sebuah negara yang menyokong pelbagai idea Islam dan (ini) akhirnya akan menyumbang kepada faedah ekonomi dan budaya untuk negara dan, mungkin, memimpin dunia Islam satu hari nanti,” menurut artikel itu.

Artikel itu menyebut kerangka Malaysia MADANI dilihat menyakinkan kerana ia memberi tumpuan kepada elemen utama ekonomi yang berjaya yang mengambil kira faktor seperti daya saing, kemudahan menjalankan perniagaan dan memerangi rasuah.

Artikel tersebut boleh diakses di https://www.bernama.com/en/thoughts.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan