EKONOMI

PERTAMBAHAN GERAN ITEKAD BANTU MODAL PUSINGAN, PEMASARAN PMKS

23/08/2023 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pertambahan peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad berupaya membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pusingan modal selain aktiviti pemasaran perniagaan bagi meningkatkan promosi dan jualan produk.

 Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro (AUM) Abd Azharee Abdul Wahid berkata ramai dalam kalangan usahawan PMKS yang menghadapi masalah kekurangan modal pusingan berikutan kenaikan harga kos sejak kebelakangan ini selain cabaran dalam aktiviti pemasaran di media sosial.

“Kebanyakan usahawan dalam akademi ini terdiri daripada perniagaan pembuatan seperti makanan dan mereka memerlukan modal untuk bahan mentah, jadi dengan adanya sedikit modal pusingan, ia boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

"Selain itu usahawan juga boleh menggunakan peruntukan tersebut untuk aktiviti pemasaran perniagaan di media sosial contohnya di Shopee dan TikTok.

"Menggunakan platform tersebut memanglah percuma tetapi hendak mendapatkan data itu perlukan bayaran, jadi sedikit sebanyak geran ini membantu dari sudut tersebut,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini di Bernama TV.

Beliau berharap dengan pertambahan peruntukan tersebut, institusi bank yang terlibat akan memudahkan proses bagi kelulusan geran tersebut kepada PMKS khususnya golongan B40.

Pertambahan RM6 juta menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2023.

Pertambahan untuk peruntukan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan. 

Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

Setakat ini, sebanyak 11 bank sahaja yang menyertai program iTekad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan