AM

HAN SOLO JADI IDOLA, DORONG HEIKAL ARAS JADI JURUTERBANG

20/08/2023 05:21 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Menjadikan watak Han Solo yang merupakan juruterbang Millennium Falcon dalam filem bersiri Star Wars sebagai idola, menjadi pendorong kepada Heikal Aras Abdul Azim, 45, untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang juruterbang.

“Dia menggelarkan diri Han Solo, setiap kali tengok cerita Star Wars sehinggakan ketika itu sanggup bergaduh dalam kalangan kami adik beradik berebut watak itu, semata-mata kerana terlalu meminatinya,” imbau abangnya Husnein Aras mengenai Heikal Aras, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada Khamis lepas.

“Minatnya itu juga mendorong dia untuk menjadi seorang juruterbang,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Heikal Aras yang merupakan juruterbang pesawat malang itu di sini hari ini.

Husnein Aras berkata anak sulung arwah, Daniel Zulqarnain, 13, juga telah menunjukkan kecenderungan minat untuk menjadi seorang juruterbang, seperti ayahnya.

“Kami sekeluarga dapat lihat apabila dia sering mereka bentuk replika kapal terbang daripada kadbod,” katanya yang merupakan seorang pegawai logistik Markas Angkatan Tentera, Sungai Besi.

Selain Daniel Zulqarnien, mangsa juga mempunyai dua lagi anak iaitu  Suri Balqish, 10, dan Rafael Dzulqairy, 9, hasil perkongsian dengan bekas isterinya, Christine Yong.

Husnein Aras berkata Allahyarham merupakan seorang yang sentiasa ceria dan baik hati.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan