DUNIA

Wanita Dipenjara 22 Tahun, Hantar Surat Mengandungi Racun Kepada Trump

18/08/2023 12:34 PM

WASHINGTON, 18 Ogos (Bernama-dpa) -- Seorang wanita berusia 55 tahun dijatuhi hukuman penjara hampir 22 tahun selepas didapati bersalah menghantar sampul surat berisi racun risin kepada presiden Amerika Syarikat ketika itu Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Wanita itu, yang tidak dinamakan, akan kekal di bawah pengawasan kehakiman walaupun selepas dibebaskan, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Khamis.

Wanita yang mempunyai dua warganegara iaitu Kanada dan Perancis, mengaku menghasilkan risin di rumahnya di Quebec pada September 2020. Dia menghantar surat yang mengandungi racun itu  ke Rumah Putih dan pegawai penguatkuasa undang-undang di Texas.

Dia juga telah mencerca Trump di media sosial. Dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Trump, dia telah meminta Republikan menarik balik pencalonannya dalam Pilihan Raya Presiden 2020. Sampul surat itu bagaimanapun telah dipintas oleh Perkhidmatan Rahsia.

Hukuman penjara ini adalah sebahagian daripada perjanjian dengan pihak pendakwaan yang telah diluluskan oleh mahkamah.

Surat-surat yang dicampur dengan risin sangat beracun, turut dihantar kepada presiden ketika itu Barack Obama serta Datuk Bandar New York Michael Bloomberg pada 2013.

Risin boleh membawa maut meskipun dalam kuantiti yang kecil.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan