KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) sedang giat mengadakan rundingan dengan beberapa negara semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) bagi mendorong kemajuan selanjutnya mengenai tarif timbal balik AS.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata peluang masih terbuka kepada pelarasan kadar tarif, dan AS sedang aktif berunding dengan pelbagai negara untuk menyeimbangkan semula perdagangan.
“Bagaimanapun, pasaran mahukan kepastian. Oleh itu, kita perlu memberitahu semua pihak mengenai kadar asas (tarif) yang akan bermula pada 1 Ogos, tetapi rundingan ini diteruskan.
“Terdapat rundingan dengan Jepun pada minggu depan. Rundingan juga sedang dilaksanakan dengan hampir semua negara yang hadir. Jadi, ini adalah rakan kongsi penting," katanya kepada pemberita di luar mesyuarat ASEAN di sini hari ini.
Pada Isnin, Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif baharu antara 25 hingga 40 peratus ke atas 14 negara dan mengeluarkan perintah eksekutif yang melanjutkan tarikh pelaksanaan tarif timbal balik berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Rubio berkata kesemua negara akan menerima surat berkaitan usaha Trump untuk menyeimbangkan semula perdagangan global.
“Presiden telah menyatakan dengan jelas. Beliau merasakan keadaan perdagangan global semasa adalah tidak adil kepada pekerja dan ekonomi AS, dan ini adalah usaha untuk menyeimbangkan semula keadaan itu pada skala global.
“Saya boleh katakan bahawa apabila semuanya selesai, banyak negara di Asia Tenggara akan menikmati kadar tarif yang sebenarnya lebih baik berbanding negara-negara lain di dunia, dan itu mungkin memberi manfaat,” katanya.
Sementara itu, Rubio berkata AS kekal komited untuk memperdalam kerjasama strategik dan ekonomi di Indo-Pasifik, terutamanya di Asia Tenggara.
Beliau turut menyifatkan mesyuarat tiga hala baru-baru ini dengan Jepun dan Filipina sebagai “sangat baik” sekali gus mengesahkan kerjasama teguh dalam keselamatan maritim, integriti wilayah dan pembangunan koridor ekonomi.
"Kami bekerjasama erat dengan Jepun dan Filipina dan terus membina kerjasama ini. Kami juga menunggu kunjungan Presiden Filipina ke Washington dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.
Sambil menekankan kepentingan rantau ini, Rubio berkata lebih 6,000 syarikat AS telah melabur di Asia Tenggara, dan menyatakan bahawa “rantau ini mempunyai populasi paling muda dari segi demografi” dengan potensi pertumbuhan yang besar.
“Sejarah abad ke-21 akan banyak berlaku di Indo-Pasifik, khususnya Asia Tenggara. Kami telah menghabiskan masa selama beberapa dekad untuk membina hubungan ini dan kami tidak akan menarik diri -- malah kami berhasrat meluaskannya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial