AM

Langkah Mydin Sahut Pendigitalan Ekonomi, Usaha Terpuji, Wajar Dicontohi - Fahmi

17/08/2023 08:12 PM

SEREMBAN, 17 Ogos (Bernama) -- Langkah Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) sebagai peneraju awal industri peruncitan tempatan berasimilasi dengan perubahan dalam era pendigitalan ekonomi  merupakan suatu usaha terpuji dan wajar dicontohi syarikat-syarikat lain, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. 

Beliau berkata MYDIN yang telah 66 tahun bertapak dalam industri peruncitan melakukan anjakan paradigma yang harus diikuti syarikat-syarikat  lain supaya mereka kekal kompetitif dalam industri perniagaan.

“MYDIN diakui aktif menyantuni masyarakat dengan jualan barangan pada harga kompetitif dan berpatutan. Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada rakan-rakan strategik kempen ini yang turut menawarkan diskaun istimewa untuk semua pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Semarak Gemilang Malaysia MADANI OHMYDIN! Meriah Bersama yang dihadiri Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Dr Ameer Ali Mydin di sini hari ini.

Fahmi berkata Ulang Tahun MYDIN ke-66 itu juga mempunyai persamaan unik dengan Hari Kemerdekaan negara dan menjadikan MYDIN lebih dekat di hati rakyat Malaysia.

Dalam pada itu Fahmi menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti isu kelajuan Internet di semua bangunan MYDIN termasuk Sabah dan Sarawak supaya dapat diselesaikan.

“Saya juga ambil maklum kelajuan Internet di bangunan ini (MYDIN Seremban 2)  adalah  146mbps (megabait sesaat)…jadi kita perlu teliti, sebab capaian Internet sudah 5G. Kalau boleh perkara ini diberi penekanan,” katanya.

Dalam pada itu Ameer berkata walaupun MYDIN mencecah 66 tahun, namun syarikat itu bergerak seiring dengan era pendigitalan untuk kekal relevan dan kompetitif dalam industri peruncitan.

“MYDIN Online memberi kemudahan kepada masyarakat khususnya pelanggan setia kami mendapatkan barangan keperluan secara dalam talian,” katanya.

Selain itu MYDIN turut menjalin kerjasama dengan rakan e-dagang terkemuka dan telah beralih ke platform baharu yang lebih inovatif iaitu “TikTok Shop”

Katanya MYDIN meneruskan kolaborasi dengan platform pembayaran digital serta rakan e-dompet bagi menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi teknologi digital ketika membeli-belah seperti Boost, MBSB Bank E-Wallet, MCash, WavPay dan Zapp.

Kempen OHMYDIN! Meriah Bersama, menawarkan pelbagai tawaran penjimatan hebat, termasuk  penganjuran  peraduan melibatkan pelbagai rakan e-dompet dan menawarkan ganjaran bernilai RM6.6 juta bermula hari ini sehingga 31 Oktober.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan