AM

Lebih 3,000 Perwakilan Hadiri Persidangan Wikimania Di Singapura

16/08/2023 11:55 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

SINGAPURA, 16 Ogos (Bernama) -- Lebih 3,000 perwakilan dari 138 negara telah berhimpun bagi menghadiri Wikimania 2023, persidangan tahunan yang meraikan 'Wikimedians' dan sukarelawan yang menyumbang kepada projek Wikipedia.

Pengasas Wikipedia Jimmy Wales berkata edisi ke-18 Wikimania itu dianjurkan oleh sukarelawan terutama dari Singapura, Asia Tenggara dan rantau Pasifik dengan sokongan daripada kakitangan Yayasan Wikimedia. 

"Acara ini akan memberi peluang kepada peserta untuk melibatkan diri dengan minda paling bijak dalam landskap maklumat digital dan pendidikan, mengambil bahagian dalam perbincangan mendalam selain mendengar sendiri mengenai usaha untuk menyebar serta memelihara ilmu dan warisan budaya di Wikipedia dan seterusnya. 

"Terdapat lebih 300 syarahan yang dirancang bagi acara itu dan 500 penceramah mengambil bahagian dalam Wikimania tahun ini, yang akan berlangsung di Singapura mulai hari ini hingga 19 Ogos di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata semasa persidangan empat hari itu, antara program penting ialah Sidang Kemuncak WikiWomen iaitu acara yang berteraskan usaha memajukan kesaksamaan jantina dan penglibatan merentasi projek Wikipedia dan Wikimedia lain.

"Selain itu, Wikimania Hackathon menjemput peserta dari setiap lapisan pengalaman untuk bekerjasama dalam projek perisian dan pangkalan data yang berkaitan dengan Wikipedia serta projek Wikimedia lain," katanya.

Wales berkata peserta juga berpeluang mengambil bahagian dalam bengkel termasuk latihan bertutur dalam Bahasa Melayu serta sesi interaktif dan perbincangan panel mengenai pelbagai topik seperti pembangunan dalam teknologi sumber terbuka, nilai Wikipedia pada era Kecerdasan Buatan generatif.

Terdahulu, semasa majlis perasmian, beliau turut menyampaikan Wikimedian of the Year kepada Taufik Rosman dari Malaysia, anugerah yang diberikan kepada sukarelawan cemerlang dalam projek Wikimedia di seluruh dunia.

Bercakap kepada Bernama, Taufik, 24, berkata anugerah itu bukan sahaja menyerlahkan apa yang dilakukan beliau selama ini malah menunjukkan bahawa Malaysia telah berkembang menjadi sebuah komuniti yang gemar berkongsi ilmu yang boleh dipercayai secara percuma dengan dunia. 

"Kita telah menyaksikan banyak komuniti Orang Asli di Malaysia yang terlibat dalam usaha memelihara bahasa mereka melalui projek seperti Wikipedia dan Wiktionary.

"Dalam kepantasan dunia berputar, kami cuba sedaya-upaya untuk memelihara kesemua bahasa di Malaysia ini secara percuma. Setiap orang memiliki secebis pengetahuan mengenai dunia dan jika kita  bergabung kekuatan dalam mengumpul ilmu di atas platform yang sama, kita boleh menjadikan dunia kita sebagai tempat yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan