AM

PINDAAN AKTA PERLINDUNGAN PERIBADI TELITI KEPERLUAN WUJUD PEGAWAI PERLINDUNGAN DATA

15/08/2023 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang menilai keperluan mewujudkan jawatan pegawai perlindungan data dalam organisasi, melalui pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709), bagi melindungi data peribadi individu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara itu, antara yang dipertimbangkan dalam pindaan akta, yang dijangka dibentang pada di Parlimen seawal Oktober ini. 

“Satu aspek yang kita lihat ialah pegawai perlindungan data ini, penting bagi organisasi menjaga data…kerana ini ada dibangkitkan (Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, berkenaan masalah penjagaan data oleh setiap organisasi.

“Kita lihat ada keperluan untuk ada jagaan data tetapi semua tertakluk kepada proses untuk mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan dan Jemaah Menteri…sekiranya diluluskan Jemaah Menteri kita bawa pindaan ini paling awal Oktober dan paling lewat bulan Mac (tahun depan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Cyber Digital Services, Defence & Security Asia   (CyberDSA) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengenai Rang Undang-Undang Keselamatan Siber, Fahmi berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sedang merangka rang undang-undang itu untuk dibawa kepada Jemaah Menteri dan ia dijangka dibentang di Parlimen pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kita akan bawa kepada Jemaah Menteri dulu, sebelum perincian kepada rang undang-undang itu dapat kita jelaskan di khalayak umum dan prosesnya sedang berjalan, dan saya percaya tak lama lagi NACSA akan sampaikan sedikit apa yang terkandung dalam rang undang-undang itu,” katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya Fahmi berkata Malaysia kekurangan 12,000 profesional keselamatan siber, dan bagi mengatasinya, kerajaan kini sedang menambah baik sokongan dan laluan untuk pendidikan keselamatan siber.

Beliau berkata pada masa ini hanya terdapat 15,248 pekerja berpengetahuan keselamatan siber di Malaysia, manakala menurut kajian terkini Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan CyberSecurity Malaysia, negara memerlukan sekurang-kurangnya 27,000 pekerja berpengetahuan keselamatan siber, menjelang akhir tahun 2025.

“Terdapat kekurangan profesional keselamatan siber yang meruncing, yang bukan sahaja dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang tepat, tetapi juga mempunyai kreativiti dan pemahaman mendalam mengenai teknologi dan juga kelakuan manusia,” katanya.

Fahmi berkata Kajian Tenaga Kerja Keselamatan Siber ISC Squared (ISC²) 2022, juga melaporkan kekurangan pekerja berpengetahuan keselamatan siber global kini berjumlah 3.4 juta orang.

Sementara itu ditanya mengenai pendirian KKD dalam menjaga hubungan baik dengan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang, Fahmi berkata beliau akan meneruskan segala inisiatif yang diaturkan kepada semua kerajaan negeri.

“Saya bagi pihak KKD, usaha kami termasuk di bawah MCMC mewujudkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap zon dan ini mesti kita teruskan, tak jadi masalah.

“Saya percaya apa yang disebut Perdana Menteri, kita akan teliti dan kita inginkan hubungan yang baik, rapatkan silaturahim, ukhwah antara negeri dan pusat,” katanya

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan