AM

ANGKASA LANCAR PERTANDINGAN PENGHIJAUAN, CAPAI OBJEKTIF TANAM 1 JUTA POKOK

05/08/2023 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menganjurkan Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan sehingga 15 Okt ini.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat merangkap Pegawai Khas Presiden Angkasa Halim Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata pertandingan selama empat bulan yang bermula sejak 15 Jun lepas bertujuan mencapai objektif penanaman sejuta pokok oleh gerakan koperasi di seluruh negara.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua koperasi sekolah ahli Angkasa seluruh Malaysia. Pokok yang ditanam perlu selaras dengan definisi pokok yang digariskan oleh agenda Penghijauan Malaysia iaitu semua jenis pokok tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun.

“Angkasa menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM52,800 berserta sijil peringkat kebangsaan dan sijil pencapaian kepada pemenang Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Negeri (Kategori Sekolah), Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Sekolah) dan Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Pelajar),” katanya.

Koperasi sekolah yang berminat boleh memuat turun aplikasi Penghijauan Malaysia secara percuma di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk mendaftar atau melalui laman sesawang 100jutapokok.gov.my serta daftar menerusi borang dalam talian (Google Form).

Majlis perasmian pertandingan itu disempurnakan Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Co-operative Alliance-Asia Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor hari ini.

Abdul Fattah dalam kenyataan itu dipetik sebagai berkata usaha itu bakal memberi impak yang luas dan positif dalam menjaga alam sekitar dan meningkatkan kesedaran serta kesungguhan dalam mendepani cabaran mengekalkan kelestarian alam.

“Saya yakin dan percaya anggota koperasi sekolah mampu menyahut cabaran untuk menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok. Sekiranya ‘Kempen 1 koperator 1 Pokok’ menerusi pertandingan ini dilaksanakan oleh anggota koperasi sekolah, maka kita akan dapat mencapai penanaman sejuta pokok pada tahun ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan terma dan syarat pertandingan dan pautan e-borang penyertaan, peserta boleh melayari laman sesawang www.sejutapokok.coop atau www.angkasa.coop atau Facebook: @SejutaPokok / @ANGKASACoop.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan