SUKAN

Melaka Cadang Kbs Salur Peruntukan Khas Selenggara Fasiliti Sukan

02/08/2023 01:13 PM

MELAKA, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan khas bagi menyelenggara fasiliti sukan terutama kepada negeri yang pernah menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia (Sukma).

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata peruntukan itu bagi menjaga serta menyelenggara fasiliti sukan digunakan sepanjang penganjuran Sukma selain mengelak perbelanjaan lebih besar untuk penganjuran akan datang.

Beliau berkata cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada KBS, namun tiada sebarang kata putus daripada kementerian itu.

“Di Melaka, kita dalam proses menyerahkan fasilti-fasiliti sukan yang ada kepada pihak berkuasa tempatan atau pejabat daerah. Mereka yang akan urus dan jaga fasiliti ini.

“Namun, proses ini juga melibatkan peruntukan dan ia sedang diusahakan. Saya berpendapat dan cuba untuk swastakan kompleks-kompleks sukan ini supaya dijaga dengan baik,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) yang bertanyakan cara penyelesaian sistematik untuk menjaga infrastruktur sukan di Melaka.

Terdahulu, Shanmugam turut menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) yang ingin tahu status pembinaan Kompleks Sukan dan Mini Stadium Masjid Tanah berhampiran Dewan Kompleks Belia dan Sukan Masjid Tanah.

Menjawab soalan berkenaan, beliau berkata status permohonan membina baharu Stadium Mini Masjid Tanah telah diangkat ke Bahagian Pembangunan (BPN) KBS dan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Melaka dalam senarai projek pilihan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan Kedua (RP2) oleh Jabatan Belia dan Sukan Melaka.

Katanya bagaimanapun, sehingga kini cadangan tersebut masih tidak berjaya mendapat kelulusan peruntukan untuk dinaik taraf oleh Kementerian Kewangan.

“Usaha akan diteruskan untuk mengangkat semula permohonan tersebut di dalam Rolling Plan seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan