EKONOMI

MOMENTUM PEMULIHAN PMKS DIJANGKA KEKAL KUKUH PADA 2023 - EWON

01/08/2023 06:14 PM

BANGI, 1 Ogos (Bernama) -- Momentum pemulihan dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka terus kukuh pada 2023 melebihi pencapaian yang direkodkan pada tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata sebuah laporan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat berhubung tinjauan Indeks Sentimen PKS yang dijalankan oleh SME Bank bagi menilai keupayaan sektor itu sepanjang tahun ini.

“Kita amat yakin bahawa pencapaian PMKS pada 2023 akan lebih baik daripada 2022 seperti mana yang telah dibentangkan, yang juga jauh lebih baik daripada 2021.

“Kita akan maklumkan (hasil perbincangan) selepas saya bentang kertas kabinet mengenai Indeks Sentimen PKS nanti,” katanya pada sidang media mengenai prestasi PMKS di sini.

Pada 27 Julai lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan bahawa PMKS Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 11.6 peratus pada 2022 mengatasi pertumbuhan KDNK negara pada 8.7 peratus.

Sumbangan PMKS kepada KDNK pada 2022 juga meningkat kepada 38.4 peratus berbanding 37.4 peratus pada 2021 manakala nilai tambah berjumlah RM580.4 bilion, menandakan peningkatan yang ketara daripada RM520 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut Ewon, kementerian terus komited dalam memperkasakan PMKS supaya kekal berdaya saing bagi membolehkan mereka menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa, seiring dengan Kerangka Ekonomi Malaysia MADANI. 

Katanya antara strategi dan inisiatif melibatkan PMKS ialah pengantarabangsaan PMKS tempatan; menarik lebih ramai pelabur; menambah geran padanan digitalisasi sebanyak RM100 juta serta peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro.

“Dalam usaha merangsang pertumbuhan PMKS, kementerian melalui agensinya, SME Corp terus komited memperkukuh pelaksanaan program pembangunan PMKS secara bersasar.

“Setakat ini, terdapat 225 program pembangunan PMKS yang sedang giat dilaksanakan oleh 12 kementerian, 56 agensi dan tujuh kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM10.6 bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan