EKONOMI

TEKUN NASIONAL STRUKTUR SEMULA LEBIH 3,000 AKAUN PEMINJAM PMKS LIBATKAN PEMBIAYAAN RM33.45 JUTA

26/06/2023 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional setakat ini telah menjalankan penstrukturan semula sebanyak 3,244 akaun peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa melibatkan jumlah pembiayaan RM33.45 juta bagi tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (Kuskop) Saraswathy Kandasami berkata selain itu, SME Bank juga menstruktur semula 137 akaun melibatkan pembiayaan sebanyak RM524.8 juta manakala Bank Rakyat sebanyak RM19.7 juta.

"Kuskop dan agensinya sentiasa komited untuk membantu usahawan PMKS termasuk yang masih lagi terkesan dengan pandemik dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Bagi usahawan yang menghadapi kesukaran untuk membayar semula pembiayaan yang diterima daripada agensi di bawah kementerian ini, Kuskop menyeru agar mereka tampil supaya penilaian dapat dibuat bagi tujuan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Saraswathy berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Juhanis Abd Aziz berhubung cadangan kementerian itu melaksanakan program pembiayaan tanpa faedah atau moratorium kepada PMKS terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan