EKONOMI

TNG DIGITAL, PRINCIPAL MALAYSIA LANCAR 8 DANA PELABURAN MELALUI GOINVEST

22/06/2023 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- TNG Digital Sdn Bhd dengan kerjasama Principal Asset Management Bhd (Principal Malaysia) hari ini memperkenalkan lapan unit dana amanah baharu melalui GOinvest, platform pelaburan digital eWallet Touch 'n Go.

Dana unit amanah baharu ini merangkumi gabungan dana konvensional serta patuh syariah, berdasarkan tempoh pelaburan jangka sederhana hingga panjang dengan pulangan mencecah 12.35 peratus setahun berdasarkan prestasi pulangan tahunan selama tiga tahun setakat 31 Mac 2023. 

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Principal Malaysia, salah satu rakan kongsi kami yang dipercayai dan sudah lama, untuk menyediakan lapan lagi pilihan produk kepada pengguna kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni.

Lapan dana unit amanah ini berada di bawah Konservatif (Dana Konservatif Sederhana Global Seleksi Islam Principal) dan Sederhana (Dana Sukuk Dipertingkatkan Sepanjang Hayat Islam Principal dan Dana Sederhana Seleksi Global Islam Principal).

Di bawah kategori Agresif adalah Dana Aset Bercampur Dinamik Asia Pasifik Principal, Dana Agresif Seleksi Global Islam Principal, Dana Pendapatan Dinamik Asia Pasifik Principal, Dana Titan Global Principal dan Dana Ekuiti DALI Principal.

"Dana Pasaran Wang Islam Principal merupakan penawaran produk utama kami dan ia telah memberi perkhidmatan kepada lebih 100,000 pengguna sehingga kini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Malaysia, Munirah Khairudin berkata dana ini bertujuan bagi menyediakan jaminan kewangan kepada lebih ramai rakyat Malaysia. 

"Kami komited sepenuhnya dalam membawa lebih banyak nilai sambil memperkasakan rakyat Malaysia dengan alat dan sokongan yang tepat untuk perjalanan pelaburan yang berjaya," katanya. 

eWallet Touch 'n Go merupakan dompet elektronik pertama yang diberikan kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk beroperasi sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf dan pengguna boleh yakin bahawa pelaburan mereka selamat dan terjamin kerana dana tersebut dikawal selia oleh SC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan