EKONOMI

KEMENTERIAN PERUNTUK RM11.5 JUTA KEPADA CEDAR TERAJUI PROGRAM PEMBANGUNAN KAPASITI KEUSAHAWANAN

20/06/2023 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengamanahkan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) untuk menerajui program pembangunan kapasiti keusahawanan dengan jumlah dana bernilai RM11.5 juta.

CEDAR adalah anak syarikat Small Medium Enterprise Development Bank (M) Bhd (SME Bank).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan sebanyak RM11.5 juta pada tahun ini termasuklah Skim Insentif Kelestarian bernilai RM10 juta; Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal bernilai RM400,000 untuk membantu pematuhan dalam pensijilan halal; Program Rintis Pemantapan dan Pendaftaran Harta Intelek dengan dana sebanyak RM100,000 dan Skim Juara Lestari berjumlah RM1 juta. 

Ewon berkata kementerian menyedari kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh CEDAR amat diperlukan dalam memacu pencapaian dalam sektor ini.

“Usaha berterusan SME Bank untuk terus membangunkan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) melalui CEDAR menjadi bukti bahawa bank sedar dan prihatin mengenai keperluan usahawan, selain mendapatkan pembiayaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Perusahaan Sosial di sini hari ini, yang bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-10 CEDAR.

Ewon berkata dalam pengumuman Belanjawan 2023, sebanyak RM21 juta diamanahkan kepada SME Bank khusus untuk menyokong pembangunan perusahaan sosial (SE).

Beliau berkata Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) telah diperkenalkan sebagai rujukan dan kerajaan mahu memastikan keusahawanan sosial bukan hanya trend perniagaan yang disesuaikan dengan faktor semasa.

“Keunikan SE ialah sudut pulangan perniagaan mereka menyasarkan untuk memberi impak positif kepada isu sosial dan pada masa yang sama membawa hasil kewangan,” katanya.

Ewon berkata Malaysia perlu memulihkan dan mengarusperdanakan SE dengan menyediakan sokongan seperti pembiayaan, akreditasi dan program peningkatan kemahiran.

“Saya berharap aspirasi kerajaan untuk memperkasakan PMKS, termasuk SE dapat disampaikan dengan baik melalui kerjasama erat dan inisiatif berterusan antara KUSKOP dan agensinya.

“Penting bahawa impak dan nilai positif yang didorong oleh SE dapat disampaikan dengan baik kepada orang awam, pembiaya dan pelabur, memberi keyakinan kepada mereka untuk terus menyokong pertumbuhan SE,” katanya.

Ewon berkata KUSKOP kini mencatatkan 511 SE yang berdaftar, dan 59 daripadanya berada di bawah kategori SE Bertauliah dan baki didaftarkan di bawah kategori SE Asas.

Melalui SEMy2030, kerajaan menyasarkan untuk mencapai sebanyak 5,000 SE berdaftar menjelang 2025 dan menyediakan akreditasi kepada 20 peratus daripada jumlah ini.

CEDAR ditubuhkan pada 2013 dengan visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pembangunan dan transformasi usahawan.

Ia menyokong aspirasi pembiayaan SME Bank dan turut memperkayakan lebih 75,000 peserta program melalui 460 bimbingan berasaskan penyelidikan, pemudahcara berasaskan fungsi dan program bimbingan yang berteraskan usahawan sejak penubuhannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan