DUNIA

Kumpulan Pertama Pelatih Railway laos Di China Tamat Latihan, Pendaftaran Dibuka Untuk Malaysia

20/06/2023 01:40 PM

Daripada Chiang Hee Tze

KUNMING (China), 20 Jun (Bernama) - Kolej Vokasional dan Teknikal Kereta Api Kunming (KMTDZY) secara rasmi membuka peluang bagi merekrut kakitangan dari negara-negara Asia Tenggara lain termasuk Malaysia, setelah kumpulan pelatih pertama dari Laos untuk kereta api China-Laos menamatkan latihan mereka pada Julai tahun ini.  

Susulan pembangunan pesat sistem kereta api di Asia Tenggara, KMDTZY mula merekrut kakitangan di rantau ini bagi memenuhi permintaan pemindahan teknologi di negara-negara Asia Tenggara.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pendidikan KMDTZY Duan Yubo berkata, perekrutan ini berdasarkan keperluan kerajaan masing-masing dan mereka yang dipilih akan menjalani program latihan jurulatih jangka pendek di China.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika lawatan oleh delegasi media Asia Tenggara di bawah program "China-Laos Railway Journey" dari 16-20 Jun.

Bernama dan Berita Harian merupakan wakil media dari Malaysia yang dijemput Kerajaan Wilayah Yunnan untuk merasai pengalaman menaiki kereta api melewati bandar Kunming, Pu'er, dan Xishuangbanna selama lima hari empat malam.

Kolej teknikal kereta api itu dibiayai dan dibina oleh Kementerian Perdagangan China, membabitkan pelaburan sekitar 400 juta RMB, termasuk pembinaan kampus dan latihan jurulatih di Laos.

Pada November 2021, sejumlah 40 individu berusia antara 22 hingga 42 tahun dipilih oleh Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos untuk menjalani program latihan selama 20 bulan di China.

Setelah menyempurnakan fasa pertama latihan, para pelatih akan kembali ke Laos pada Ogos 2023 dan bekerja di pelbagai seksyen sistem kereta api, sekali gus membangunkan lebih banyak individu berkemahiran di Laos.

Duan Yubo berkata bahawa kumpulan pelatih itu akan menjadi jurulatih di tanah air mereka dalam masa terdekat, dan akan terus melanjutkan proses pembelajaran setelah pulang ke rumah.

"Mereka akan terus menerima panduan daripada tutor yang dihantar KMDTZY ke Laos, dan dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun sebelum mereka layak menjadi jurulatih kereta api sepenuh masa," katanya.

Mengenai pendaftaran baharu yang dibuka untuk negara-negara Asia Tenggara yang lain, pemohon tidak perlu mempunyai latar belakang akademik atau profesional yang khusus.

Individu yang berminat boleh memuat turun borang permohonan dari http://kmtdzy.cn/cooperation/96.aspx dan menghantarnya ke ktzydwc@126.com.

Selepas proses penilaian dan kelulusan, kolej akan menghantar surat penerimaan, serta dokumen pendaftaran seperti Borang Permohonan Visa Pelajar Asing (borang JW202) dan panduan penerimaan, termasuk permohonan biasiswa.

Perkhidmatan kereta api penumpang rentas sempadan China-Laos yang menghubungkan Kunming dan Vientiane dilancarkan pada 13 April lalu, berperanan sebagai mikrokosmos dan model untuk pembangunan bersama inisiatif "Jalur dan Laluan " dan mempromosikan integrasi ekonomi serantau oleh China dan negara-negara jiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan