RAUB, 13 Jun (Bernama) -- Pekebun durian di daerah ini perlu bekerjasama bagi memajukan industri buah tempatan itu sekali gus dapat menjadikan mereka sebagai pengeksport durian berprestasi tinggi.
Hasrat itu disuarakan Timbalan Pengerusi Royal Pahang Durian Group (RPDG) Datuk Albert Chang Si Fock yang berpendapat inisiatif itu perlu digerakkan segera kerana pertumbuhan pasaran durian di China memerlukan bekalan berkualiti yang konsisten.
"Royal Pahang Durian Resources (RPDR) bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) sedang berusaha menggerakkan dan menstrukturkan industri pertanian durian yang berpecah di Raub agar menjadi perniagaan holistik dan sistematik...jadi kami percaya dengan bekerjasama kami dapat bergabung dan mempunyai pengaruh yang lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan bersama media ke ladang durian RPDG berkeluasan 404.68 hektar dan mempunyai 26,000 pokok durian yang kebanyakan jenis 'Musang King' di sini hari ini.
Katanya setakat ini kira-kira 200 pekebun telah menyatakan hasrat untuk bersama RPDG dan pihaknya berharap lebih ramai pekebun berbuat demikian bagi membolehkan durian itu dieksport menerusi satu jenama.
"Kami akan beli durian mereka dan pasarkan, asalkan ia durian daripada Raub yang sememangnya sudah mempunyai penggemar sendiri dan berkualiti," katanya.
Mengikut statistik Jabatan Pertanian, terdapat 9,755 hektar penanaman durian yang direkodkan di Raub pada 2020, yang mewakili 13 peratus daripada jumlah keseluruhan hektar penanaman di Malaysia iaitu 76,895 hektar.
Dalam pada itu, Chang memaklumkan Malaysia menghadapi persaingan daripada negara pengeluar durian yang lain antaranya Thailand yang telah mengeksport Musang King ke China selain Pulau Hainan di China sedang mengusahakan varian Musang King sendiri.
Bagaimanapun, beliau optimis durian yang dihasilkan di Raub mempunyai kualiti yang berbeza dan rasa tersendiri sekali gus masih dapat mengekalkan penggemarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial