AM

Troli Pintar Ezycart Bakal Digunakan Di Pasar Raya Terkemuka

13/06/2023 06:18 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Troli beli-belah pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), EzyCart, yang merupakan produk inovasi tempatan akan digunakan di pasar raya besar terkemuka di Malaysia seperti Redtick, Lotus’s dan Jaya Grocer.

Dibangunkan melalui kerjasama NanoMalaysia Bhd dan penyedia penyelesaian automasi runcit berasaskan AI, Retailetics Sdn Bhd, produk pintar itu mempunyai teknologi seperti imbasan kod bar, pengesahan berat barangan dan gabungan sensor ciri canggih yang dapat mengelak risiko kecurian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NanoMalaysia Dr Rezal Khairi Ahmad berkata EzyCart itu, yang dilengkapi dengan sistem e-dompet, juga membantu pengguna mencari produk di rak barangan serta menggunakan bahan antibakteria berasaskan teknologi nano bagi memastikan ia sentiasa bersih.

Ditemui selepas pelancaran EzyCart oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang di Redtick Putrajaya hari ini, beliau berkata NanoMalaysia memperuntukkan dana RM1 juta bagi pembangunan troli tersebut.

Buat permulaan, katanya EzyCart akan diaplikasikan di  Redtick Putrajaya dengan sebanyak 10 troli diletakkan di pasar raya itu.

"Kita (NanoMalaysia) juga akan membimbing  Retailetics bagi tujuan pemasaran produk sehingga dapat menembusi pasaran rantau Asia Tenggara," katanya.

NanoMalaysia ditubuhkan pada 2011 sebagai syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi menerusi model pembangunan usaha sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan