EKONOMI

Malaysia Perlu Pantas Terjemah Inovasi Kepada Penerimagunaan Perusahaan - Chang

29/01/2026 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu bergerak pantas menterjemah inovasi untuk digunakan perusahaan, meningkatkan produktiviti dan daya saing negara susulan peningkatan pesat kumpulan syarikat pemula teknologi serta kesediaan menggunakan teknologi digital.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata inovasi korporat penting kerana syarikat merupakan enjin pengembangan terbesar, membentuk rantaian bekalan, menetapkan piawaian industri dan menentukan seberapa cepat teknologi baharu sampai ke pasaran.

"Apabila korporat bergerak perlahan, inovasi akan terbantut. Apabila mereka mendahulu, seluruh ekosistem akan memecut," kata beliau dalam ucaptamanya di acara The BIG Programme: Forum Inovasi Korporat anjuran Cradle Fund Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Ad Banner

Chang berkata MOSTI telah membentuk semula cara bagaimana syarikat terlibat dengan inovasi, bukan sekadar sebagai pemerhati tetapi sebagai rakan aktif dalam penggunaan teknologi.

Menurutnya, kementerian itu juga menyedari banyak model pemerolehan tradisional, rangka kerja risiko dan garis masa pengenalan telah dibentuk bagi mencapai kestabilan dan bukannya kepantasan, dan ini telah menjadi halangan dalam landskap teknologi yang pesat berkembang .

"Namun, apa yang kita lihat hari ini menunjukkan bahawa halangan ini boleh ditangani. Dengan menimbang semula penglibatan korporat dengan syarikat pemula dan teknologi baharu, akses pasaran boleh dipercepat, dan inovasi boleh memberi impak dan boleh diuruskan (apabila melibatkan) risiko," katanya.

Chang berkata keyakinan untuk bereksperimen, mengguna pakai dan mengembangkan teknologi semakin memacu penglibatan korporat dengan syarikat pemula, disokong oleh kemudahan lebih berstruktur dan rangka kerja perkongsian risiko lebih jelas yang membantu membuat keputusan dan pergerakan yang lebih pantas melangkaui projek perintis.

Menurutnya, penglibatan lebih awal antara syarikat korporat dan syarikat pemula membantu menangani jurang yang telah lama wujud antara kesediaan inovasi dan kesediaan pemerolehan, terutamanya apabila peneraju teknologi dan penggubal keputusan korporat membincangkan model penggunaan, harta intelek dan proses komersial.

Chang berkata impaknya sudah dapat dilihat, dengan syarikat korporat tampil sebagai penggerak pertama dan bukan sebaliknya menunggu teknologi matang di luar negara, mengeluarkan modal, sumber dan memberi tumpuan utama di dalam negara.

"Bagi MOSTI ini menandakan perubahan besar apabila inovasi mula dilihat sebagai bukan beban kos, tetapi sebagai pelaburan strategik bagi pertumbuhan yang berdaya tahan, berdaya saing dan untuk tempoh jangka panjang.

“Inilah yang diperlukan oleh Malaysia untuk terus relevan dalam ekonomi global yang dipacu teknologi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan