AM

Kejayaan Malaysia Dalam Kes Tuntutan Sulu Tamatkan Usaha Rampas Aset Negara - Fahmi Fadzil

07/06/2023 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Kejayaan Malaysia dalam pertikaian undang-undang di Perancis berkaitan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, mematikan segala usaha mereka untuk cuba merampas aset negara.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang memihak kepada negara Malaysia, mahkamah lain di luar negara juga tidak akan membenarkan kumpulan Sulu itu menggunakan mahkamah, sebagai platform untuk mengganggu gugat kedaulatan negara.

“Ini (keputusan mahkamah semalam) dengan secara muktamadnya mematikan segala usaha mereka (kumpulan Sulu), untuk cuba merampas aset negara.

“Saya percaya dengan keputusan ini, di negara-negara lain juga, terutamanya di rantau Eropah, akan tidak membenarkan mahkamah mereka digunakan sebagai platform (sewenang-wenangnya) oleh pihak tidak bertanggungjawab... dan seterusnya menjamin keselamatan aset (negara) kita,” katanya mengulas keputusan kes berkenaan di sini, hari ini.

Semalam Malaysia melakar kejayaan bersejarah, apabila Mahkamah Rayuan Paris memutuskan untuk mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020, dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan semalam berkata, apa yang lebih penting ialah keputusan itu membayangkan bahawa Mahkamah Rayuan Paris akan membatalkan award final berjumlah hampir US$15 bilion yang diberikan oleh Stampa kepada kumpulan Sulu itu.

Beliau berkata Malaysia kini berusaha agar pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, yang akan menggagalkan usaha untuk menguatkuasakan award tersebut di seluruh dunia oleh kumpulan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan