SEREMBAN, 8 Feb (Bernama) -- Selangor FC membawa bekalan tipis ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 14 Februari ini selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Skuad kendalian ketua jurulatih Kim Pan Gon itu memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti Chrigor Moraes pada masa tambahan separuh masa kedua selepas beliau dijatuhkan pemain tuan rumah Muhammad Harith Samsuri.
Terdahulu, Moraes hampir meletakkan Selangor di depan pada minit ke-76 namun jaringan hasil rembatan dari depan pintu gol itu tidak disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Pan Gon kemudiannya dilayangkan kad kuning kerana memprotes keputusan pengadil di luar padang.
Pasukan tuan rumah juga hampir memecah kebuntuan pada minit ke-80 menerusi sepakan percuma pemain import Jovan Motika namun percubaannya gagal menemui sasaran.
Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi percubaan kapten pasukan Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim dipatahkan benteng pertahanan NSFC pada minit ke-29.
Skuad Jang juga hampir membuka jaringan pada minit ke-39 apabila sepakan percuma pemain import Aday Ali Abdulraheem Kharroub yang ditanduk Joseph Esso tersasar.
Empat minit kemudian, Selangor hampir menjaringkan gol menerusi situasi satu lawan satu Alvin Mateus Fortes dengan penjaga gol tuan rumah tetapi percubaannya hanya melepasi palang gol.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial