AM

Perlu Ada Perjanjian Khusus Bagi Perolehan Darurat Kkm - Lukanisman

07/06/2023 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Setiap proses perolehan darurat Kementerian Kesihatan (KKM)  pada masa akan datang perlu mempunyai perjanjian khusus dengan pembekalan bagi memastikan mereka tidak mengambil kesempatan dan menyediakan peralatan yang mengikut piawaian. 

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni menjelaskan ketika negara dilanda wabak COVID-19 pada 2019, ventilator menjadi keperluan mendesak dan dibeli secara perolehan darurat tanpa perjanjian khusus dengan pembekal.

Beliau berkata harga ventilator ketika itu naik mendadak kerana diklasifikasikan sebagai produk komoditi serta dijual secara cash and carried dan disebabkan pergerakan keluar masuk ke negara pengeluar seperti China amat terhad, maka pembekal mengemukakan cadangan ventilator secara katalog dan brosur.

“Bagi tujuan perolehan, KKM telah menetapkan spesifikasi ventilator kepada pembekal dan pemilihan peralatan dibuat menerusi katalog kerana kekangan pergerakan untuk memeriksa peralatan secara fizikal.

“Ini merupakan antara punca pembekal ketika darurat tersebut mengambil kesempatan dengan sediakan peralatan ventilator yang tidak mengikut spesifikasi yang kita mohon,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 bagi kementerian itu.

Justeru katanya, sekiranya negara sekali lagi berdepan situasi darurat, satu sistem yang lebih teratur perlu dibuat dengan menyediakan perjanjian khusus kepada pembekalan walaupun menerusi perolehan secara darurat.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) ketika mencelah sesi itu berpandangan syarikat pembekalan yang mengambil kesempatan wajar disenarai hitam dan tidak dibenarkan membekal peralatan kepada KKM pada masa akan datang.

“Pembekal sepatutnya mempunyai tanggungjawab moral untuk sediakan ventilor yang boleh digunakan walaupun (KKM) tidak periksa kualitinya,” katanya.

Sementara itu, menjawab isu pemilikan aplikasi MySejahtera, Lukanisman berkata aplikasi kesihatan itu adalah milik KKM sepenuhnya dan kerajaan mempunyai hak penuh atas pengguna platform itu menerusi lesen platform kekal atau perpetual license.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan