AM

BERNAMA, MCMC BEKERJASAMA SAMPAIKAN MAKLUMAT FUNGSI PEDI

06/06/2023 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeratkan lagi hubungan kerjasama dengan mewujudkan platform bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai mengenai Pusat Ekonomi Digital (PEDi). 

Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Roslan Ariffin berkata BERNAMA akan membantu menyediakan satu rancangan khas berkaitan PEDi supaya orang ramai memahami tentang fungsi dan peranan pusat itu, antaranya mengenai usahawan digital yang berjaya dalam memasarkan barangan dalam talian.

“BERNAMA sebagai platform untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat manakala MCMC sebagai penggerak untuk pembangunan dan advokasi perkara itu,” katanya selepas menerima kunjungan Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Alyas Roy Amir di Wisma Bernama hari ini.

Roslan berkata BERNAMA juga akan menjadi platform kepada MCMC bagi menyuarakan isu penipuan dalam talian yang semakin meningkat.

“Penipuan dalam talian menyebabkan jutaan, malahan bilion kerugian dalam kalangan rakyat Malaysia setiap tahun, jadi kami akan cuba untuk mendidik dan membolehkan rakyat Malaysia memahami serta tidak lagi jadi mangsa scammer,” katanya.

Sementara itu Alyas Roy berkata kerjasama antara dua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dapat menggerakkan program advokasi dan pencerahan untuk mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian selain meningkatkan taraf ekonomi melalui ekonomi digital.

Beliau memaklumkan terdapat 911 PEDi di seluruh negara dengan 27 PEDi di Wilayah Persekutuan yang merangkumi 21 di Kuala Lumpur, empat di Putrajaya dan dua di Labuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan