AM

ENAM KELAB SUKAN BERNAMA DIRASMIKAN, GALAK PETUGAS AMAL GAYA HIDUP AKTIF

20/05/2024 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengorak langkah sempena ulang tahun ke-57 hari ini, melancarkan enam kelab sukan secara rasmi dalam usaha menggalakkan gaya hidup lebih sihat di kalangan petugas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata kesemua kelab sukan itu, disamping mampu meningkatkan tahap kecergasan petugas di sebalik kesibukan masing-masing melaksanakan tugas, ia juga diharap dapat merapatkan hubungan sesama mereka.

“Saya melihat selain daripada aspek kesihatan, ia adalah peluang untuk kita sesama pekerja merapatkan silaturahim. Itu yang kita ingin terapkan. Selain kita bekerja dengan cemerlang, kita perlu juga mempunyai ukhwah sesama kita,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun agensi berita itu di Wisma Bernama, di sini.

Kelab sukan yang dirasmikan hari ini ialah Kelab Bola Sepak Bernama, Kelab Bola Jaring Bernama, Kelab Boling Bernama, Kelab Bola Tampar Bernama, Kelab Badminton Bernama dan Bernama Bikers Club.

Dalam majlis hari ini, Nur-ul Afida turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1,000 secara sekali beri kepada kelab-kelab tersebut, yang bernaung di bawah Kelab Kakitangan Bernama bagi mengalakkan penganjuran aktiviti sukan.

Beliau turut menyampaikan hadiah dan sagu hati kepada 12 peserta pertandingan mencipta logo sambutan ulang tahun ke-57 Bernama, yang dimenangi Mohd Fadli Abdul Hadi daripada Bahagian Ehwal Korporat.

Dalam pada itu, Nur-ul Afida berkata petugas Bernama perlu berusaha meningkatkan keupayaan masing-masing, dalam mengadaptasi pengunaan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan dalam melaksanakan tugas, agar Bernama terus diyakini dan mampu menyampaikan kandungan berita lebih bermutu.

“Bukan sahaja di Jabatan Pengarang, kita turut memperkemaskan apa jua perkembangan teknologi semasa ke bahagian lain di Bernama. Kita mahu setiap bahagian dan jabatan di Bernama, turut bergerak seiring perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara, dan agensi berita itu mula beroperasi pada 20 Mei 1968.

Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, Bernama menerusi perkhidmatan berita wires, saluran televisyen dan radio serta platform digital, berkhidmat berlandaskan objektif penubuhannya iaitu menyedia, menyebar luas berita dan maklumat secara tepat, adil dan saksama demi memelihara kepentingan nasional.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan