EKONOMI

INDEKS SENTIMEN PKS SEPARUH PERTAMA 2023 TUNJUK PMKS KEKAL BERDAYA TAHAN - SME BANK

06/06/2023 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara keseluruhannya kekal berdaya tahan selepas tinjauan Indeks Sentimen PKS bagi separuh pertama 2023 menjana bacaan positif 52.9, menurut SME Bank.

Presiden kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aria Putera Ismail berkata penemuan indeks itu menunjukkan bahawa pemilik perniagaan masih optimis, berdaya tahan dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa walaupun keputusan yang direkodkan lebih rendah daripada bacaan indeks 2022 iaitu 53.8.

“Bacaan indeks separuh pertama ini adalah sejajar dengan kelembapan ekonomi negara yang diramalkan tahun ini yang mana SME Bank serta Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia juga menjangkakan keluaran dalam negara kasar Malaysia akan terus berkembang antara julat 4.0 peratus tahun ke tahun hingga 5.0 peratus tahun ke tahun, menyederhana daripada 8.7 peratus tahun ke tahun pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pakar Ekonomi SME Bank Lynette Lee pula berkata 45 peratus daripada responden iaitu kebanyakannya perusahaan mikro dan kecil meramalkan kelembapan ekonomi dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Beliau berkata, mengikut sektor pula, penyederhanaan terutamanya berpunca daripada pelbagai subsektor dalam industri perkhidmatan iaitu bekalan elektrik, gas, wap dan penyaman udara (utiliti), hartanah dan runcit.

“Bagaimanapun, 44 peratus daripada perniagaan bersaiz sederhana dan besar, menjangkakan pengembangan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi. Perbezaan dalam jangkaan ini mencerminkan keadaan dan cabaran berbeza-beza yang dihadapi oleh perniagaan berlainan saiz,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata bank sentiasa berhati-hati dengan perkembangan di dalam dan luar negara.

“Persekitaran dasar monetari global yang lebih ketat, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, inflasi tinggi dan risiko kemelesetan ekonomi tertentu boleh memberi kesan limpahan kepada ekonomi domestik dan menjejaskan trajektori pemulihan,” katanya.

Kaji selidik ini yang dijalankan bermula Januari hingga Mei 2023 menerima lebih 700 responden daripada pelbagai sektor dan saiz PMKS.

Indeks ini berfungsi untuk mengukur pandangan PMKS berkenaan persekitaran perniagaan yang boleh menjadi kayu pengukur dalam mengukur bagaimana ekonomi keseluruhan dijangka bertindak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan