Oleh Norhidayyu Zainal
PETALING JAYA, 29 Mei (Bernama) -- Kehebatan filem "The Little Mermaid" mencetuskan fenomena tersendiri apabila ada peminat tegarnya sanggup menonton karya itu di pawagam dengan mengenakan kostum lengkap ikan duyung.
Kelihatan bersantai, aksi mereka yang sekali sekala melibaskan ekor berwarna warni ketika menonton filem berkenaan persis watak Ariel, si ikan duyung yang dilakonkan Halle Bailey dalam filem berkenaan.
Mereka adalah sebahagian daripada 62 peminat tegar filem Disney yang berpeluang menontonnya di bawah anjuran Mermaid Queen dan Onshore Mermaid Scuba School International (SSI) Centre pada Sabtu lepas.
Pengurus Onshore Mermaid SSI Centre Bukit Jalil Amy Cheng Kher Harn, 44, berkata mereka teruja mengadakan aktiviti itu selepas mendapat tahu adaptasi filem animasi ikonik berkenaan ke layar perak sebagai sebuah naskhah live action.
"Ia buatkan kami rasa teruja apatah lagi ada antara kami adalah pencinta filem ini sejak dari zaman kanak-kanak. Jadi, inilah masanya untuk kami berkumpul dan tunjukkan tanda sokongan kepada filem ini," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Pengurus Mermaid Queen SSI Centre Nilai Farrah Mazlani, 40, pula berkata aktiviti tersebut juga bertujuan untuk membuang stigma negatif masyarakat kepada aktiviti renangan duyung yang disifatkan sebagai seksi dan menggoda.
"Aktiviti renangan duyung satu pendekatan menyeronokkan terutama kepada kanak-kanak yang belajar berenang. Ia lebih kepada kepada aktiviti beriadah dan kecergasan.
"Oleh itu, kita seharusnya memanfaatkan kelas atau modul renangan duyung yang ditawarkan untuk mempelajari kaedah yang lebih selamat untuk semua peringkat umur," katanya.
Peminat filem itu, Chin Wen Xuan, 14, mengakui teruja untuk menonton filem tersebut kerana baginya Ariel adalah ikan duyung yang cantik dan elegan.
"Saya teruja apabila menonton atau membaca apa saja berkaitan duyung...kerana watak Ariel juga, saya berhasrat untuk mahir berenang seperti ikan duyung," katanya.
Bagi Zara Noor Ajmain Abdul Rahman, yang berusia sembilan tahun, seronok melihat karakter mencuit hati rakan-rakan hidupan laut Ariel iaitu Sebastian (ketam), Flounder (ikan) dan Scuttle (burung) selain menikmati keindahan laut dalam yang menakjubkan.
"Mereka buat saya terhibur dan gembira. Cerita ini seronok untuk ditonton dan saya masih dalam proses belajar berenang dengan baik supaya boleh jadi seperti Ariel," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial