AM

"Papa Zola The Movie" Raih RM68.2 Juta Kutipan Pecah Panggung

13/02/2026 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Papa Zola The Movie muncul sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia dengan catatan 4.4 jumlah penonton di seluruh Asia Tenggara, dan meraih lebih RM68.2 juta kutipan pecah panggung.

Pencapaian itu menjadikannya sebagai filem Malaysia ketiga tertinggi sepanjang zaman dari segi kutipan, selepas Mat Kilau dan Blood Brothers.

Pengarah Media MONSTA Faiz Zainal Aabidin berkata bersempena dengan cuti panjang Tahun Baharu Cina yang bakal tiba dan cuti persekolahan selama seminggu, pihak produksi terus menggiatkan usaha mengajak rakyat Malaysia meluangkan masa bersama-sama keluarga menonton filem itu di pawagam.

"Pada masa yang sama, MONSTA sedang memperluas fokus promosi ke pasaran antarabangsa susulan prestasi memberangsangkan filem ini di luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran MD Pictures Rivki Morais berkata pencapaian itu mencerminkan penerimaan positif penonton Indonesia terhadap Papa Zola The Movie, yang kini berada dalam kelompok lima filem teratas paling banyak ditonton di pawagam ketika ini, dengan kehadiran penonton yang tinggi, khususnya di pusat bandar.

Papa Zola The Movie akan meneruskan tayangan serta aktiviti promosi antarabangsa di Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu pada April, diikuti pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain termasuklah Bahrain, Oman dan Qatar pada Mei, serta Turkiye, India dan Vietnam pada Jun.

Bagi mendekatkan filem ini dengan penonton di setiap negara, Papa Zola The Movie turut ditampilkan dalam versi alih suara yang disesuaikan mengikut bahasa tempatan selaras dengan keperluan dan cita rasa pasaran masing-masing. 

Seiring dengan musim perayaan, rakyat Malaysia diundang untuk menonton Papa Zola The Movie di pawagam, tontonan pilihan keluarga sepanjang cuti sekolah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan