EKONOMI

Momentum Perdagangan Malaysia Dijangka Bertambah Baik Pada Awal Separuh Kedua - Rhb Research

19/05/2023 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Momentum perdagangan Malaysia dijangka menunjukkan tanda-tanda peningkatan pada awal separuh kedua tahun ini berdasarkan pemulihan ekonomi global, kata RHB Research.

Ia berkata keadaan kewangan diunjurkan stabil dalam tempoh itu kerana kebanyakan bank-bank pusat global utama akan mencapai objektif kadar faedah mereka dan momentum inflasi berkemungkinan berkurangan secara berterusan.

“Walaupun kelembapan dalam permintaan luar, kami berpendapat risiko kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia sendiri adalah terhad. Ekonomi domestik yang dirangsang oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, penerusan projek infrastruktur berskala besar dan peningkatan dalam aktiviti pelancongan akan terus menyokong momentum ekonomi.

"Analisis terperinci kami menunjukkan bahawa ekonomi domestik menjadi lebih besar dan pergantungan luar terutamanya pasaran buruh disebalik keadaan ekonomi global semakin merosot," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini berkata perdagangan Malaysia jatuh sebanyak 14.5 peratus tahun ke tahun pada April 2023 kepada RM198.0 bilion dalam persekitaran ketidaktentuan ekonomi global.

Pada bulan yang sama, nilai eksport juga menurun sebanyak 17.4 peratus tahun ke tahun kepada RM105.4 bilion manakala nilai import menyusut 11.1 peratus tahun ke tahun kepada RM92.6 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan prestasi eksport Malaysia adalah disebabkan oleh eksport domestik yang lebih rendah.

RHB berkata kelemahan dalam momentum dagangan berkemungkinan berterusan untuk baki separuh pertama 2023.

Kemerosotan secara mendadak data dagangan April adalah disebabkan oleh faktor satu kali sahaja dan bukan permulaan arah aliran menurun baharu dengan firma Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mengurangkan import berikutan risiko sektor perbankan AS dan fakto-faktor berlaku secara bermusim yang memberi kesan kepada import dari Malaysia oleh syarikat China.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan