AM

KERAJAAN LULUS RM23.1 JUTA UNTUK 16 PBT BAIK PULIH, NAIK TARAF KEMUDAHAN AWAM DI JOHOR

15/05/2023 05:54 PM

JOHOR BAHRU, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM23.1 juta kepada 16 pihak berkuasa tempatan di negeri ini, antaranya bagi membaik pulih, menaik taraf kemudahan dan infrastruktur awam di Johor.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata peruntukan sebanyak RM1.3 juta kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur awam di Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Air Biru.

Beliau berkata sebanyak RM8.5 juta kepada kerajaan negeri melibatkan penyelenggaraan 28 kolam takungan, yang diharap dapat mengawal luruan air hujan sekali gus menebat kejadian banjir kilat.

Selain itu, sebanyak RM13.3 juta pula untuk 16 PBT di negeri itu bagi melaksanakan 35 projek kemudahan awam, katanya.

“Peruntukan itu bagi menaik taraf medan selera, pasar awam dan taman rekreasi ini merupakan peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan tiada ketirisan, keborosan dan pembaziran berlaku.

“Semua projek yang diumumkan melibatkan peruntukan RM23.1 juta ini akan bermula pada masa terdekat dan wajib siap dalam tahun ini..,” kata beliau selepas mendengar taklimat mengenai projek menaik taraf  medan selera Anjung Selera Laman Tasik Pandan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman.

Nga menambah KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan sentiasa bekerjasama dengan PBT di seluruh Malaysia bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat.

Berhubung cadangan kerajaan negeri supaya menawarkan tanah bagi digunakan untuk pembinaan projek perumahan rakyat, beliau berkata kerajaan Negeri Sembilan dan Johor telah tampil untuk menawarkan tanah yang sesuai.

“Mana-mana kerajaan negeri yang sudi menawarkan tanah secara percuma atau kenakan premium yang minimum, KPKT akan beri keutamaan dalam pembinaan PPR.

“Berdasarkan pengalaman dahulu, kalau kerajaan negeri tidak tawarkan tanah percuma, kerajaan Persekutuan terpaksa beli tanah yang sebanyak 30 peratus daripada peruntukan terpaksa digunakan beli tanah dan lokasi tidak berkualiti kerana tidak ada duit,” kata beliau.

Justeru, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) di semua negeri diharap membuat kajian dan mengenalpasti mana-mana tapak yang sesuai untuk dibina PPR, kata beliau.

-- BERNAMAber


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan