SEPANG, 4 Mei (Bernama) -- Kehadiran pemain naturalisasi dalam skuad bola keranjang beberapa negara di Sukan SEA yang kini berlangsung di Kemboja, menimbulkan sedikit kebimbangan buat kem negara.
Bagi mencapai misi meraih emas di temasya dwitahunan itu, pengurus pasukan wanita Ch'ng Eng Hing berkata Malaysia perlu mengikut langkah negara Asia Tenggara lain menggunakan khidmat pemain naturalisasi, supaya mampu bersaing pada edisi seterusnya.
“Kebanyakan negara seperti Filipina, Indonesia bahkan Kemboja sendiri saya dengar ada pemain naturalisasi. Jadi saya rasa ia memberikan cabaran untuk (kita) bersaing bersama-sama mereka.
“Tahun ini kita tidak mempunyai pemain naturalisasi namun kemungkinan pada Sukan SEA 2025 di Thailand, kita (akan) ada. Harap-harap kita dapat pemain naturalisasi dan kita perlu mempunyai perancangan untuk tahun akan datang berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, sebelum berlepas ke Kemboja bersama pasukan bola keranjang negara, hari ini.
Bagaimanapun Ch’ng berkata ketiadaan pemain naturalisasi tidak akan dijadikan alasan untuk tidak menampilkan persembahan terbaik, sekali gus memberi cabaran sengit kepada pihak lawan.
“Pada Sukan SEA lepas di Hanoi, Vietnam, kita memperoleh gangsa menerusi acara berpasukan wanita, jadi pada kali ini kita harap dapat melangkah ke saingan separuh akhir dalam usaha meraih pingat,” katanya.
Skuad bola keranjang wanita bakal membuka tirai perlawanan bagi acara 3x3 peringkat Kumpulan B, bertemu tuan rumah Kemboja, Indonesia dan Singapura, Sabtu ini.
Bagi acara berpasukan, mereka diundi dalam Kumpulan A dan bakal berdepan Kemboja pada 9 Mei diikuti Singapura (10 Mei), Indonesia (11 Mei), Vietnam (12 Mei), Thailand (13 Mei) dan Filipina (15 Mei).
Sementara itu, pasukan lelaki kebangsaan bagi acara 3x3 diundi dalam Kumpulan B menentang Singapura, Thailand serta Kemboja, Sabtu ini.
Dalam acara berpasukan, skuad lelaki negara yang diundi dalam Kumpulan A akan berentap dengan Filipina pada 9 Mei, diikuti Singapura (11 Mei) dan Kemboja (13 Mei).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial