KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Pertandingan Esei Sunway-Oxbridge kembali buat tahun ke-10 dengan menggalakkan pelajar sekolah menengah di sekolah kebangsaan untuk menulis idea dan aspirasi mereka demi Malaysia yang lebih baik sekali gus merebut hadiah berupa dermasiswa Sunway bernilai RM172,000 serta hadiah bernilai sehingga RM28,000.
Kumpulan Sunway dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tema tahun ini bertumpu kepada pembinaan negara dan peserta perlu menerangkan peranan yang boleh mereka mainkan untuk membentuk masa depan Malaysia menerusi dua kategori melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 (Kategori A) dan Tingkatan Pelajar 4 dan Tingkatan 5 (Kategori B).
Peserta dalam Kategori A perlu menulis esei bertajuk "What do you see as your responsibilities in building our nation? dalam 200-350 patah perkataan, manakala pelajar dalam Kategori B perlu mengarang dalam 500-650 patah perkataan esei bertajuk: "Look at our society. What is the single most distressing problem our people are facing? How could your generation help to address this issue?.
Pertandingan esei itu dianjurkan bersama oleh Sunway Group, Yayasan Jeffrey Cheah, Universiti Sunway, dan Oxford and Cambridge Society Malaysia, dengan kerjasama Sunway Super App, bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia di seluruh negara.
“Pertandingan ini juga bertujuan untuk melengkapkan pelajar peringkat menengah dengan kemahiran insaniah seperti penaakulan kritis, kreativiti dan komunikasi berkesan yang akan menyediakan mereka untuk kerjaya masa depan,” menurut kenyataan itu.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Razman M. Hashim dalam kenyataan sama berkata pertandingan esei itu mencerminkan komitmen Sunway sejak sekian lama terhadap peranan pendidikan dalam membentuk nasib individu, masyarakat dan negara.
“Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa perniagaan dan sains, pertandingan esei ini menyediakan platform kebangsaan untuk mempromosi dan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dalam menyuarakan pemikiran dan idea mereka tentang hala tuju dan masa depan Malaysia,” tambahnya.
Pertandingan Esei Sunway-Oxbridge 2023 kini dibuka dan perlu dihantar pada 8 Mei 2023 (sebelum pukul 1 tengah hari), dan pelajar boleh menghantar esei mereka secara dalam talian di www.sunway.com.my/essay.
Menurut kenyataan itu, setelah tarikh akhir penyerahan, panel penilai akan memilih dan menyenarai pendek 100 finalis dari seluruh negara untuk menghadiri pertandingan akhir menulis esei dari setiap kategori.
Panel penilai terdiri daripada bekas Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eeksekutif Oxford dan Cambridge Society Malaysia Margaret Hall, wakil dari Pusat Pengajian Bahasa Inggeris Sunway Education Group dan pegawai dari Kementerian Pendidikan.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua kategori pertandingan Esei Sunway-Oxbridge 2023 menawarkan hadiah untuk tiga pemenang teratas, selain 10 hadiah saguhati, termasuk hadiah wang tunai, dermasiswa untuk program pra-universiti di Kolej Sunway, 10,000 Mata Sunway, anugerah sijil, dan trofi.
Johan akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, Dermasiswa Sunway bernilai RM16,000; naib johan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan Dermasiswa Sunway bernilai RM12,000, manakala tempat ketiga memenangi wang tunai RM1,000 dan Dermasiswa Sunway bernilai RM8,000.
Tiga pemenang teratas juga akan menerima 10,000 Mata Sunway, sijil anugerah dan trofi.
Selain itu, 10 peserta berpeluang memenangi hadiah saguhati wang tunai RM500 setiap seorang; Dermasiswa Sunway bernilai RM5,000; 10,000 Mata Sunway; sijil anugerah dan pingat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial