AM

Vietnam Sedia Jalin Kerjasama Lebih Erat Dengan Malaysia Untuk Masa Depan ASEAN

28/05/2025 06:34 PM

BANGI, 28 Mei (Bernama) -- Vietnam bersedia menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Malaysia dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, inovasi serta transformasi digital dalam usaha memacu pembangunan lestari dan kemakmuran bersama di seluruh rantau ASEAN.

Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, dalam syarahan umum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, berkata kedua-dua negara berkongsi visi untuk menerajui peralihan Asia Tenggara ke arah masa depan yang berpaksikan pengetahuan dan dipacu oleh inovasi.

“Vietnam dan Malaysia adalah dua negara yang berkembang secara dinamik di Asia Tenggara, berkongsi visi pembangunan lestari berlandaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.

“Vietnam kini bersedia untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Malaysia ke arah mencapai matlamat bersama iaitu pembangunan lestari dan kemakmuran bersama bagi kedua-dua negara serta komuniti ASEAN,” katanya.

Beliau menyampaikan syarahan umum itu sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir semalam.

Turut hadir Felow Diraja UKM Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Profesor Datuk Mohamad Abd Razak.

Chinh juga berkata rakyat adalah aset strategik manakala pencapaian dalam bidang sains, teknologi dan transformasi digital adalah "pemandu utama serta faktor penentu” ke arah pembangunan negara khususnya bagi negara-negara membangun dalam ASEAN.

Mengambil kira globalisasi dan Revolusi Perindustrian Keempat, Chinh berkata terdapat keperluan mendesak bagi pembangunan modal insan berkualiti serta peranan penting institusi pendidikan.

“Sekarang adalah masa untuk institusi pendidikan memainkan peranan utama dalam menyediakan tenaga kerja untuk masa depan, bukan hanya bagi sebuah negara sebaliknya seluruh rantau dan dunia,” katanya.

Chinh menggariskan lima teras untuk memajukan kerjasama peringkat universiti antara Malaysia dan Vietnam termasuk latihan sumber manusia berteknologi tinggi, penyelidikan saintifik bersama, pertukaran akademik, piawaian akreditasi serantau dan memulakan ekosistem inovasi.

“Apabila Vietnam dan Malaysia melabur dalam pengetahuan, jika golongan muda hari ini berkongsi aspirasi yang sama, kita boleh membina Asia Tenggara yang bukan hanya menjadi pusat pengeluaran tetapi juga pusat idea; bukan hanya tempat untuk menggunakan teknologi tetapi juga mencipta pengetahuan dan teknologi masa depan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penambahbaikan untuk mendalami kerjasama dalam bidang sains, teknologi serta digital antara Malaysia dan Vietnam termasuk penyelidikan bersama, pembangunan infrastruktur dan tadbir urus digital.

“Saya percaya kerjasama dalam bidang pendidikan tidak hanya akan menghasilkan pusat pembelajaran dan pemindahan ilmu sebaliknya boleh berfungsi sebagai pusat inovasi, penyelidikan saintifik serta pemindahan teknologi yang merentasi seluruh negara, rantau dan global.

“Pengetahuan adalah kekuatan. Apabila dua negara berkongsi dan menghubungkan pengetahuan serta melabur dalam generasi masa depan, tiada halangan yang tidak mampu diatasi dan kejayaan baharu akan sentiasa digapai,” katanya.

Chinh turut menggesa golongan belia ASEAN untuk mengamalkan ketahanan minda, inovasi dan akauntabiliti dalam mengharungi kehidupan di dunia yang semakin kompleks.

“Golongan belia hari ini tidak harus mudah berpuas hati sebaliknya perlu mengamalkan pemikiran untuk mengubah benda yang tidak berguna kepada sesuatu yang berfaedah, kesukaran menjadi kemudahan, kemustahilan kepada kemungkinan dan sesuatu yang tidak penting menjadi perkara utama, itulah perkara yang penting sebenarnya,” kata beliau sambil menggariskan nilai-nilai disiplin dan tanggungjawab sebagai ciri penting bagi pemimpin masa depan.

Beliau berkata golongan belia adalah arkitek kemajuan dan oleh itu, mereka perlu memiliki lima ciri utama iaitu pembelajaran aktif, inovasi dan keusahawanan, libat urus institusi dan dasar, integrasi antarabangsa serta pemeliharaan budaya dan pembinaan keamanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan