AM

MAVCOM LAKUKAN PEMERIKSAAN DI KLIA, LTSAAS PASTIKAN KELANCARAN SEMPENA AIDILFITRI

19/04/2023 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Hampir 700,000 penumpang dijangka menaiki penerbangan sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri berdasarkan jumlah penerbangan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Justeru bagi memastikan kelancaran dan keselesaan pengguna, MAVCOM menjalankan pemeriksaan mengejut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang bermula 17 April lepas.

“Daripada pemeriksaan kami, suruhanjaya ingin melaporkan bahawa tahap kesediaan kedua-dua syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang di kesemua titik sentuh penumpang penerbangan adalah memuaskan selari dengan jangkaan peningkatan trafik penumpang.

“MAVCOM akan terus menjalankan pemeriksaannya dan bekerjasama bersama syarikat penerbangan serta operator lapangan terbang bagi memastikan tahap perkhidmatan ini berterusan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, MAVCOM melalui surat pada 14 April lepas turut memberi peringatan kepada pemain industri untuk memastikan kesediaan operasi secara konsisten bagi mengelakkan gangguan penerbangan.

Selain itu, MAVCOM menggesa syarikat penerbangan mematuhi jadual penerbangan serta slot yang diluluskan, selain pengendali lapangan terbang juga diingatkan untuk mematuhi tahap perkhidmatan yang ditetapkan.

Pada masa sama, suruhanjaya itu menggalakkan pengguna untuk mendaftarkan aduan mereka dengan syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang sekiranya berlaku gangguan penerbangan.

Katanya, pengguna terjejas yang tidak menerima maklum balas atau tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang boleh mengemukakan aduan di laman web www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart.

Pengguna juga boleh menghubungi talian pengguna MAVCOM di 1800-18-6966 untuk panggilan dalam Malaysia atau +603-7651 2777 untuk panggilan dari luar Malaysia, menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan