KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Impak daripada kenaikan kos pembiayaan ke atas margin akan lebih besar untuk bank Islam berbanding bank konvensional di Malaysia dan Indonesia, menurut Moody’s Investors Service.
Agensi penarafan itu berkata bank Islam mempunyai keperluan pembiayaan yang lebih besar untuk menampung pertumbuhan pembiayaan yang lebih cepat, didorong oleh sokongan dasar untuk sektor tersebut serta kesedaran awam yang meningkat dan pengetahuan mengenai produk Islam.
“Selain itu, penilaian semula deposit berjangka untuk mencerminkan kenaikan kadar faedah akan memberi impak kepada bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia lebih daripada bank konvensional berikutan ia lebih bergantung kepada pembiayaan sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Moody’s berkata Bank Syariah Indonesia, bank Islam terbesar di Indonesia, mengunjurkan margin pembiayaan bersihnya akan merosot sekurang-kurangnya 20 mata asas pada 2023 manakala bank konvensional utama di negara itu menjangka margin faedah bersih pada amnya stabil.
Antara bank Islam di kedua-dua negara, impak daripada kos pembiayaan yang tinggi akan lebih sederhana di Malaysia, katanya.
“Di Malaysia, kebanyakan bank Islam adalah sebahagian daripada kumpulan perbankan yang lebih besar dan disepadukan dengan baik dengan operasi teras mereka.
“Kumpulan perbankan utama Malaysia telah mengguna pakai strategi ‘Islamic First’ untuk pertumbuhan, menawarkan produk Islam pertama kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada dalam semua bidang perniagaan. Ini membantu unit Islam kumpulan perbankan menarik deposit tanpa membayar kadar yang terlalu tinggi,” katanya.
Moody’s berkata sebahagian besar pembiayaan di bank Islam turut membawa kadar berubah-ubah yang memberi mereka kelebihan apabila kadar faedah meningkat.
“Bank Negara Malaysia menaikkan kadar sebanyak empat kali pada 2022 dan kadar pembiayaan bank Islam turut meningkat,” katanya.
Moody’s berkata berbeza dengan bank Islam Malaysia, sebahagian besar pembiayaan di bank Islam Indonesia mempunyai kadar tetap.
“Oleh itu, walaupun bank boleh menilai semula sebahagian daripada pembiayaan kadar tetap secara berkala, sebarang pelarasan menangguhkan kenaikan kadar.
“Kadar purata untuk pembiayaan pengguna dan pelaburan bank Islam Indonesia, yang menyumbang 74 peratus daripada jumlah pembiayaan mereka pada akhir Januari 2023, merosot 70 mata asas dari segi purata dari Jun 2022 hingga Januari 2023, kemungkinan disebabkan persaingan,” menurut firma itu.
Selain itu, Moody’s berkata lebih sukar untuk bank Islam di Indonesia berbanding di Malaysia untuk mendapatkan deposit kerana skala mereka yang lebih kecil dan kadar penembusan pasaran yang lebih rendah.
“Walaupun beberapa bank Islam di Indonesia adalah sebahagian daripada kumpulan perbankan yang lebih besar, ia tidak bersepadu seperti di Malaysia dan mempunyai rangkaian pengedaran yang berbeza,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial