AM

Program BJB Ilham Agong, Permaisuri Diperluas - Onn Hafiz

10/11/2025 10:27 PM

JOHOR BAHRU, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor akan memperluas program Bangsa Johor Bahagia (BJB) ke Flat Larkin di sini dan Flat Temenggong di daerah Kulai dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu telah dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

Beliau berkata program BJB 3.0 itu akan menerapkan tema warisan dan semangat baharu dalam menangani cabaran perumahan berstrata.

"Ia sekali gus akan menerapkan peningkatan taraf sosioekonomi, peluang pembangunan remaja, platform perkembangan generasi dan keupayaan komuniti menerima perubahan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata program BJB 3.0 akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor.

Menurutnya program ilham Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong itu adalah di bawah Yayasan Sultan Ibrahim Johor serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Onn Hafiz berkata program itu telah menempa pelbagai kejayaan menerusi projek komuniti perintis sejak dilaksanakan di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai (BJB1.0) pada 2019 sebelum diperluas ke Flat Plentong Utama (BJB2.0) tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan