BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
TANGKAK, 15 April (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menerusi Takaful-4-All (T4A) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni penduduk di Kampung Melayu Kundang Ulu di sini yang terkesan akibat banjir, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pengisian ilmu diadakan sebagai usaha merapatkan hubungan persatuan dan ahli-ahlinya dengan masyarakat setempat.
Katanya, kemuncak program berkenaan adalah penyerahan bantuan sebanyak RM76,000 hasil sumbangan daripada MTA serta beberapa syarikat pengendali takaful di negara ini antaranya AIA Public Takaful Bhd, Prudential BSN Takaful Berhad, Takaful Ikhlas Family Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad.
"Turut dilaksanakan adalah aktiviti bergotong-royong membaik pulih Masjid Jamek An-Nur, di Pekan Kundang Ulu, dengan mengecat dan membersihkannya serta beberapa aktiviti lain termasuk memasak dan agihan bubur lambuk, khatam al-Quran serta iftar,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Baik Pulih Masjid Jamek An-Nur di sini malam ini.
Beliau berkata ziarah dan amal tersebut adalah sebagai kesinambungan komitmen pihaknya untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan dengan musibah menimpa mereka baru-baru ini sekali gus diharapkan dapat meringankan beban mangsa.
Mohd Radzuan berkata sejak bulan lepas pihaknya menggerakkan industri takaful secara kolektif di bawah inisiatif kempen T4A bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir terutamanya di Johor.
Menurut beliau antara bantuan yang dihulurkan adalah memudahkan dan menyegerakan tuntutan serta perkongsian maklumat talian penting untuk semua syarikat takaful, selain mengaktifkan skuad T4A yang bersiap sedia menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
"Selain usaha mendekatkan hubungan bersama masyarakat dan CSR, kempen T4A yang diperkenal juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan takaful menerusi pelbagai platform sama ada arus perdana, digital dan media sosial," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial