AM

‘MEDIA BEBAS DAN SELAMAT, TUNJANG DEMOKRASI’ TEMA HAWANA 2023

13/04/2023 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- ‘Media Bebas dan Selamat, Tunjang Demokrasi’ dipilih sebagai tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang akan diadakan di Ipoh pada 27 hingga 29 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin berkata antara faktor pemilihan tema tersebut adalah untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dan juga keselamatan wartawan dalam menjalankan tugas mereka.

“Definisi selamat itu bukan setakat wartawan dapat menjalankan tugas dengan selamat di lapangan, kami juga memberi definisi selamat itu lebih luas lagi iaitu wartawan juga perlu selamat daripada tindakan undang-undang, gangguan dan ugutan yang semakin menjadi fenomena di seluruh dunia.

“Kita mahu beri penekanan bahawa dalam menjalankan tugasnya, maka seorang wartawan itu sebolehnya diberi satu perlindungan dan tidak diancam dalam konteks menegakkan kebenaran dan membolehkan wartawan menjalankan tugas dengan bebas,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan penganjuran HAWANA 2023 secara maya, hari ini.

Roslan berkata pelbagai acara menarik telah disusun bagi memeriahkan sambutan program tersebut pada tahun ini seperti pertandingan mencari harta karun, boling dan juga mini karnival.

Roslan berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah berkenan untuk berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Hawana 2023 yang ditaja oleh kerajaan negeri Perak pada malam 27 Mei nanti.

“Kemudian pada 28 Mei akan dianjurkan satu forum antarabangsa yang akan turut melibatkan jemputan dalam kalangan wartawan ASEAN. Kemuncaknya adalah pada 28 Mei apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan hari kemuncak HAWANA 2023,” katanya sambil menambah persiapan program tersebut telah mencapai tahap 70 peratus.

Beliau berkata kerjasama yang diterima daripada agensi-agensi media lain disifatkan sebagai positif dengan ada yang menyatakan hasrat mereka untuk terlibat secara langsung dengan penganjuran HAWANA 2023.

“Ada beberapa acara juga yang telah disyorkan oleh mereka termasuk ada yang berhasrat untuk mengadakan seminar bagi memberi kefahaman yang lebih baik berkenaan fungsi dan tugas wartawan.

“Media lain juga akan turut mempromosikan HAWANA 2023 ini. Dalam erti kata lain HAWANA 2023 ini sebenarnya adalah satu acara yang melibatkan semua media di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan